Porto pertahan sebab ketepikan Casillas 

Oleh Penulis Jemputan 18 Oktober 2017 1576
 Porto pertahan sebab ketepikan Casillas 
Jurulatih Porto, Sergio Conceicao, mempertahankan keputusannya tidak menurunkan Iker Casillas yang menyaksikan mereka rebah 3-2 di RB Leipzig biarpun taruhannya di depan gawang, Jose Sa, kelihatan gugup. 

Juara tiga kali Liga Juara-Juara (UCL) itu membuat kejutan dengan mengetepikan Casillas yang sebelum ini telah tampil dalam dua perlawanan Kumpulan G itu serta lapan aksi domestik. 

Rombakan itu terbukti bukan langkah bijak apabila bekas penjaga gol remaja Portugal itu gagal menghadang rembatan Bruma untuk gol kedua perlawanan selepas Willi Orban meledak gol pembukaan buat tuan rumah. 

Pemain berusia 24 tahun itu bangkit pada babak seterusnya dan Conceicao mendakwa dia tidak akan berganjak dengan keputusannya. 

"Saya menurunkan 11 pemain yang difikirkan sesuai untuk perlawanan malam ini (awal pagi tadi)," kata Conceicao dalam sidang media.  

"Saya tidak akan mengubah keputusan yang dibuat jika berpeluang melakukannya. Saya dibayar untuk membuat keputusan dan saya telah menamakan barisan terkuat."

Porto dihukum akibat kelekaan benteng pada separuh masa pertama sehingga meletakkan mereka dalam kesukaran untuk memburu kemenangan kedua dalam kempen itu musim ini. 

Pasukan dari Portugal itu kini menduduki tempat ketiga kumpulan menjelang aksi timbal balik dengan Leipzig yang dipisahkan lima mata dengan pendahulu, Besiktas. 

"Kami agak longgar sebelum waktu rehat dan melakukan beberapa kesilapan di bahagian pertahanan yang jarang kami lakukan," tambahnya. 

"Kami akan mengharungi dua lagi perlawanan di tempat sendiri dan satu di tempat lawan. Aksi berdepan Leipzig di gelanggang sendiri nanti akan menjadi penentu buat kami," katanya lagi.

 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen