PORTO 5 MONACO 2

Jurulatih Porto, Sergio Conceicao, menyeru pemainnya untuk mengekalkan prestasi yang ditetapkan dalam kemenangan 5-2 ke atas AS Monaco tatkala mereka menuju peringkat kalah mati Liga Juara-Juara (UCL).


Gol dari Yacine Brahimi, Alex Telles, Tiquinho Soares serta dua jaringan daripada Vincent Aboubakar memastikan Porto meraih tempat kedua Kumpulan G di depan RB Leipzig meskipun dicemari layangan kad merah kepada Felipe pada babak pertama di samping Rachid Ghezzal, yang dikenakan tindakan serupa akibat perbalahan.

Untuk itu, Porto mengumpul tiga kemenangan, seri sekali dan dua kekalahan daripada enam perlawanan. Lantaran itu, Conceicao memuji pasukannya yang kini belum dikalahkan dalam 10 perlawanan.

"Saya mengucapkan tahniah kepada pemain," katanya kepada pemberita. "Ini adalah impian kami.

"Kami mempunyai matlamat yang jelas dan kami menangani segala yang berlaku kepada kami.

"Kami tidak harus membiarkan tahap kemampuan kami terus longlai supaya kami dapat bermimpi," katanya.

Telles, yang menjaringkan gol keempat Porto dan yang pertama dalam UCL, empat minit selepas Kamil Glik mencetak gol sepakan penalti untuk Monaco, berkata: "Kami harus mengucapkan tahniah, kami memang layak.

"Impian kami sangat besar dan kami menghadapinya satu persatu.

"Saya sangat gembira untuk menjaringkan gol pertama dalam UCL. Ia adalah malam yang akan diingati, sudah pasti," ujarnya.

Penyokong di Estadio do Dragao menjulang bekas penyerang Porto, Radamel Falcao, selepas dia dimasukkan sebagai pemain gantian kedua Monaco sebelum menjaringkan gol sagu hati.

Penyerang Colombia itu, yang memenangi Liga Primeira dan Liga Europa bersama Porto, berkata: "Saya sangat senang untuk datang ke sini dan bermain di Porto yang dianggap seperti halaman sendiri, saya memenangi banyak trofi di sini."

Falcao percaya Monaco yang menduduki tangga ketiga Ligue 1 dengan sembilan mata di belakang pendahulu, Paris Saint-Germain (PSG), mampu pulih daripada permulaan sukar musim ini.

"Kami perlu memberi tumpuan kepada liga dan dua piala domestik," katanya selepas Monaco berada di tangga tercorot Kumpulan G. "Sukar untuk tidak meneruskan kempen dalam UCL, tapi itulah bola sepak.

"Pasukan kami banyak berubah pada musim panas lalu dan kami memerlukan masa untuk menjadi lebih mantap. Kami mampu menamatkan saingan di tangga kedua liga untuk kembali ke pertandingan ini," tambahnya.