Kebangkitan yang dipamerkan Poland untuk seri 1-1 dengan 10 pemain Portugal membuktikan mereka mampu bermain dengan baik tanpa penyerang utama, Robert Lewandowski, menurut ketua jurulatih, Jerzy Brzeczek.

Jaringan menerusi sepakan penalti Arkadiusz Milik dalam separuh masa kedua membolehkan Poland meraih satu mata dalam saingan Liga Negara-Negara, sekali gus menjamin tempat mereka dalam satu peti undian kelayakan Euro 2020.

Tandukan Andre Silva membenarkan Portugal mendahului permainan tetapi terjahan Danilo Pereira ke atas Milik menyaksikan tuan rumah memberikan sepakan penalti kepada Poland sementara kad merah dilayangkan kepada pemain tengah itu selepas berlaku insiden pergaduhan di Guimaraes.

Lewandowski terlibat dalam kekalahan 1-0 kepada Republik Czech sebelum menarik diri untuk kembali ke Bayern Munich dengan kecederaan lutut.

"Kami telah bermain dengan baik. Kami bolos awal tetapi tidak berputus asa dalam perlawanan ini. Ia merupakan perkara yang sangat penting," katanya.

"Poland telah membuktikan mereka mampu bersaing tanpa Lewandowski. Saya pasti ia akan membantu kami pada masa akan datang.

"Saya turut berpuas hati dengan persembahan barisan pertahanan kami. Sekali lagi, Poland membuktikan beraksi tanpa Kamil Glik, seorang lagi pemain utama pasukan, dan kami bermain dengan baik."

Jurulatih Portugal, Fernando Santos, berpuas hati apabila pasukannya meloloskan diri ke pusingan seterusnya dalam saingan Liga Negara-Negara.

Bagaimanapun, Santos berang dengan kesilapan yang berulang kali dilakukan Portugal.

"Saya bangga kami mara ke separuh akhir tetapi tidak berpuas hati dengan perlawanan ini," kata Santos.

"Kami boleh melakukan lebih baik lagi tetapi kerap melakukan kesilapan.

"Portugal mengawal permainan tetapi tidak mencipta banyak peluang. Kami memperbaiki lagi persembahan tetapi memberikan sepakan penalti kepada pasukan lawan dan kami terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri."