Pemain tengah Manchester United, Paul Pogba, bergurau dengan menyatakan bahawa kebolehan Ronaldo untuk menjaringkan gol sama mudah seperti dia meminum air.

Ronaldo, 33, memulakan karier bersama Juventus dengan baik menerusi tujuh gol daripada 13 penampilan dalam semua kejohanan walaupun dia masih memburu jaringan pertama bersama gergasi Serie A itu dalam kempen Liga Juara-Juara Eropah.

Bercakap mengenai perlawanan di antara United dan Juve di Turin awal pagi nanti, Pogba berkata bahawa Ronaldo menjadikan tugas menjaringkan gol kelihatan mudah.

"Saya berasakan bahawa perpindahan Ronaldo sesuatu yang baik buat Juventus.

"Ia sentiasa baik untuk memiliki pemain sehebat dia.

"Bermain bersama pemain sepertinya sudah pasti sangat menggembirakan dan hari ini dia bersama Juventus.

"Saya rasakan dia sangat gembira berada di sini dan Juventus bertuah kerana memiliki pemain yang boleh menjaringkan gol semudah meminum air," katanya.

Pogba dan Ronaldo bakal berdepan bekas pasukan masing-masing.

Juve mampu layak ke pusingan berikutnya andai dapat mengelak daripada kekalahan.