Paul Pogba menggesa rakan sepasukannya untuk tidak melepaskan peluang menjulang trofi Piala Dunia selepas melepasi aksi separuh akhir susulan kejayaan 1-0 ke atas Belgium, awal pagi tadi.

Pemain berusia 25 tahun itu tampak gembira dengan kemenangan di Saint Petersburg itu selepas jaringan Samuel Umtiti pada minit ke-51 membolehkan juara 1998 itu menunggu sama ada England atau Croatia dalam final.

Pemain tengah Manchester United itu merupakan salah satu nama yang membarisi skuad Perancis yang tewas 1-0 di tangan Portugal dalam final Euro 2016 dan Pogba berharap agar mereka mampu mempamerkan permainan lebih baik pada Ahad nanti.

"Ia sungguh indah dan bagus tetapi masih ada satu langkah," katanya.

"Hari ini, saya gembira tetapi tidak seperti ketika aksi Euro 2016. Kami berpeluang untuk menjuarainya tetapi terlepas perkara hebat dan peluang ini tidak seharusnya dilepaskan.

"Anda harus fokus. Kami meraikan kemenangan tetapi kini mula memberi perhatian kepada final. Kami melakukannya pada 2016, hampir menjulang trofi dan akhirnya terlepas.

"Saya gembira apabila melihat orang ramai tersenyum tetapi saya juga berharap dapat menambah kegembiraan itu pada Ahad nanti."

Pogba kemudian dilihat mendedikasikan kejayaan Perancis ke atas Belgium buat pasukan bola sepak yang diselamatkan daripada gua di utara Thailand.