Paul Pogba tidak akan menjadi kerugian besar buat Manchester United jika dia angkat kaki, kata bekas pemain terbilang kelab itu, Paul Scholes.

Pemain tengah kelahiran Perancis itu mengumumkan pada penghujung musim 2018 bahawa dia mahu meninggalkan Old Trafford dengan Presiden Real Madrid, Florentino Perez, baru-baru ini mengesahkan dia cuba menandatangani pemain berkenaan.

Namun, langkah itu gagal menjadi kenyataan dan Pogba memulakan kempen baru Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila terus bersama United, namun dia kini tersisih ekoran kecederaan.

Scholes menganggap kelab itu mungkin meminta Pogba agar kekal setahun lagi, sama seperti langkah sebelum Cristiano Ronaldo dibenarkan menyertai Madrid pada 2009.

"Saya fikir cukup jelas dia mahu berpindah," kata Scholes, pemenang 13 kejuaraan EPL dengan United.

"Dia mahu pergi ke Real Madrid, namun ia tidak berlaku.

"Saya tidak akan terkejut sekiranya tawaran yang dibuat itu sama seperti tindakan Cristiano ketika dia berada di United.

"Jika mereka telah meminta dia supaya kekal selama setahun lagi, maka kita akan melihat apa yang berlaku selepas ini. Tetapi saya tidak fikir dia akan menjadi kerugian besar buat United.

"Saya tidak fikir prestasinya terlalu baik dalam dua atau tiga tahun ini. Saya yakin ramai lagi pemain yang boleh melakukan tugas itu dengan baik."

The Red Devils akan membuka kempen Liga Europa dengan menentang Astana, awal pagi esok.

Tonggak tengah itu dijangka diketepikan akibat kecederaan pergelangan kaki yang menyebabkan dia terlepas tugasan antarabangsa dengan juara dunia, Perancis.

Sementara itu, Victor Lindelof telah menandatangani kontrak jangka panjang yang baru selepas diikat daripada Benfica, dua tahun lalu.

Pertahanan Sweden itu menyatakan komitmen masa depannya di kelab itu dengan menandatangi kontrak baru sehingga 2024 dengan pilihan untuk melanjutkanya setahun lagi.