Mauricio Pochettino belum memutuskan sama ada Christian Eriksen akan berada dalam kesebelasan utama Tottenham bagi perlawanan Liga Juara-Juara (UCL) dengan PSV, awal pagi esok.

Eriksen kembali selepas terlepas empat perlawanan dan baru kembali dalam kemenangan Liga Perdana Inggeris (EPL) ke atas pesaing London, West Ham, Sabtu lalu, apabila membuat penampilan ringkas dari bangku simpanan.

Tetapi, pemain Denmark itu mungkin akan kembali ke bangku simpanan apabila Spurs berdepan PSV dalam aksi Kumpulan B nanti dengan kedua-dua pasukan belum memenangi sebarang mata setelah dua perlawanan.

Pochettino mengesahkan kehilangan Jan Vertonghen (hamstring) dan Danny Rose (pangkal paha) manakala khidmat Dele Alli (hamstring) juga terpaksa dilupakan biarpun kembali menjalani latihan.

"Saya fikir Danny Rose, Dele Alli dan Jan Vertonghen masih tersisih," kata Pochettino kepada wartawan.

"Christian Eriksen patut dipilih dan kami akan melihat esok sama ada dia boleh bermain dari awal permainan atau dari bangku simpanan."

Spurs menuju tempoh sibuk musim ini dan Pochettino akur situasi tersebut akan menjadi sukar untuk kelabnya tatkala stadium baru masih belum disiapkan.

"Saya fikir ia satu cabaran besar atas sebab-sebab yang berbeza," tambah Pochettino. "Sudah tentu saya fikir ia adalah semula jadi bagi kami untuk mencurahkan segala kudrat dan kualiti bagi cuba menguruskannya dengan cara yang terbaik.

"Situasi musim panas lalu ekoran Piala Dunia Russia yang tidak membenarkan pemain untuk bercuti lama sebelum mereka kembali menyambung persaingan, bagi kami ia adalah satu cabaran besar memandangkan segala perkara yang berlaku pada permulaan musim ini adalah berbeza dengan musim sebelumnya.

"Memang sukar untuk selalu berasa seperti bermain di tempat sendiri. Kami sedang menguruskan perkara-perkara ini untuk memastikan ia berbeza pada masa akan datang.

"Apabila saya menandatangani kontrak baru, kami menjangkakan tempoh yang sukar tetapi ia jauh lebih sukar daripada yang kami jangkakan."

Pengurus PSV, Mark van Bommel teruja untuk menghadapi Pochettino yang telah berada di Tottenham sejak 2014 dengan hanya dua pengurus Liga Perdana -- Eddie Howe dan Sean Dyche -- merupakan pengendali yang paling lama mengekalkan jawatan.

"Dia melakukan yang terbaik, adalah tidak normal untuk kekal di kelab besar dalam tempoh lama," kata Van Bommel kepada wartawan. "Dia melaksanakan tugasnya dengan sangat baik. Dia juga melakukan tugas yang baik di Southampton sebelum ini.

"Saya mengaguminya kerana mampu mengekalkan Spurs di peringkat tertinggi di England selama bertahun-tahun, ia adalah pencapaian hebat.

"Anda dapat lihat Spurs di bawah Pochettino mempunyai gaya tersendiri. Apabila mereka kembali ke pangkuan Spurs daripada skuad kebangsaan, mereka bermain dengan corak permainan Pochettino. Dia memberikan ruang buat anak buahnya mempamerkan kemampuan."