Mauricio Pochettino sedia untuk kembali ke bidang pengurusan setelah dipecat Tottenham dengan berkata beliau terbuka untuk menerima sebarang tawaran.

Pengendali berusia 47 tahun itu dipecat oleh kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu 19 November lalu selepas permulaan yang sukar musim ini, dengan Jose Mourinho dilantik menggantikannya.

Pochettino kembali ke Argentina untuk berehat, namun sedia untuk kembali bidang pengurusan jika mendapat peluang.

"Terdapat beberapa kelab dan projek yang menarik untuk saya terima," katanya kepada Fox Sports Argentina.

"Buat masa ini, perkara paling penting buat saya adalah berehat seketika selepas lima setengah tahun bersama Tottenham.

"Sasaran saya adalah untuk mencari sebelum kebolehan untuk membentuk semula diri ini dan meningkatkan motivasi untuk kembali.

"Ia merupakan niat saya untuk kembali mengendalikan pasukan di Eropah. Sukar untuk saya membayangkan projek di Argentina. Bagaimanapun, demi keluarga, saya tidak akan menolak untuk bekerja di sini.

"Tetapi saya perlu bertenang terlebih dahulu untuk beberapa hari ini. Saya tidak memiliki masa yang banyak untuk mencerna apa yang terbaik bagi diri saya.

"Keputusan pertama saya adalah kembali ke Argentina, pulang ke rumah dan bertemu keluarga dan rakan-rakan. Keputusan terbaik saya adalah pulang ke Argentina untuk berehat selama 10 hari.

"Tetapi saya dijangka kembali ke Eropah untuk membuat keputusan mengenai masa depan saya. Pada usia ini, saya tidak memerlukan masa yang terlalu panjang untuk pulih. Saya terbuka untuk mendengar projek yang diletakkan di hadapan saya."

Arsenal kini sedang berusaha mendapatkan pengurus baru selepas Unai Emery dipecat minggu lalu manakala juara Jerman, Bayern Munich, turut tanpa ketua jurulatih yang tetap.

Manchester United turut dikhabarkan berminat dengan Pochettino, yang memimpin Tottenham menamatkan saingan dalam kelompok empat terbaik selama empat musim di samping melangkah ke final Liga Juara-Juara musim lalu.