Pengendali Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino, membayangkan untuk menurunkan kesebelasan terbaik apabila turun menentang Arsenal bagi saingan suku akhir Piala Liga awal pagi esok.

Status Pochettino bersama Spurs menjadi tanda tanya tatkala dia dikatakan muncul calon utama bagi menggantikan Jose Mourinho di Manchester United susulan pemecatan pengendali dari Portugal itu semalam.

Satu-satunya persoalan yang timbul mengenai Pochettino, 46, adalah dia merupakan salah seorang pengendali yang kurang meraih kejuaraan utama.

Walaupun kebanyakan pengurus sering menggunakan pentas domestik untuk melakukan sistem penggiliran dalam kesebelasan utama, Pochettino sedar akan keinginan peminat Spurs untuk melihat kemarau 10 tahun trofi berakhir dan berpendapat Arsenal perlu berwaspada dengan barisan terkuatnya esok.

"Ia adalah perlawanan penting tetapi pasti berbeza dalam beberapa minggu lalu," kata Pochettino merujuk kepada kekalahan 4-2 di tangan The Gunners, awal bulan ini.

"Semua pasukan melakukan penggiliran secara kerap tetapi saya mungkin membuat anda terkejut apabila tidak menggunakan cara sama."

Spurs tewas di tangan United dan Chelsea dalam dua separuh akhir Piala FA sebelum ini serta ditundukkan The Blues ketika final Piala Liga 2015 di mana ia merupakan musim pertama Pochettino bersama Tottenham.

Pengendali dari Argentina itu dipuji selepas mengesahkan slot ke Liga Juara-Juara dalam beberapa musim terakhir tetapi tetap sedar bahawa kejuaraan pastinya memberikan kepuasan berbeza.

"Kami bercakap dengan pemain dan ia pasti hebat," tambah Pochettino.

"Muncul juara untuk piala seperti ini dan orang ramai akan menilai apa yang anda lakukan.

"Benar apabila ia melibatkan pandangan ramai serta makna besar meraih trofi. Kami akan cuba menewaskan Arsenal. Dalam setiap musim kami mencuba.

"Dalam musim pertama, kami ke pentas final berdepan Chelsea tetapi tewas. Kami juga beraksi dalam separuh akhir bertemu United. Kami tewas dengan barisan lebih besar.

"Kami cuba dan hanya memerlukan sedikit tuah. Kami akan cuba sekali lagi untuk memenangi sesuatu musim ini."