Pengendali Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino, mengakui dia berminat untuk kekal di kelab itu selama 10 atau 15 tahun lagi dan membawa trofi-trofi ke kelab London itu.

Pengerusi kelab, Daniel Levy, mendedahkan dalam buku yang bakal diterbitkan bahawa dia mahu melihat Pochettino terus mengetuai pasukan itu dalam tempoh sedekad lagi.

Bekas pertahanan Argentina berkenaan menjadi pujaan selepas usahanya menjadikan Spurs pasukan terbilang sejak memikul tugasan itu pada 2014 manakala pembinaan stadium baru mencetuskan rasa optimis buat masa depan kelab itu.

Bercakap mengenai pertemuan Liga Juara-Juara (UCL) dengan Real Madrid di Santiago Bernabeu, Pochettino berkata dia gembira sekiranya berpeluang untuk kekal selama yang mungkin selagi Levy mahukan khidmatnya.

"Ia terpulang kepada pemilik dan juga pengerusi," katanya dalam sidang akhbar.

"Saya sangat gembira. Saya sangat seronok di Tottenham. Ia kelab yang cukup berpotensi. Kami menanti stadium dan kemudahan baru dan saya berpendapat ia akan menjadi stadium terbaik di Eropah.

"Masanya akan tiba untuk membina pasukan ini menjadi sebuah pasukan kompetitif dan cuba memenangi trofi.

"Saya gembira mendengar apa yang Daniel katakan, ia menggambarkan harapannya terhadap saya. Saya berharap untuk kekal 10 atau 15 tahun lagi di sini. Saya gembira untuk menandatangani kontrak itu," tambahnya.

Spurs menuju ke perlawanan awal pagi esok dengan mata penuh dalam dua perlawanan awal Kumpulan H untuk berkongsi mata menerusi perbezaan jaringan dengan penyandang juara, Madrid.