Mauricio Pochettino merindui pengurusan bola sepak di England dan bersedia untuk kembali ke memainkan peranannya.

Pengurus dari Argentina itu dipecat oleh Tottenham kemudian digantikan dengan Jose Mourinho pada November tahun lalu.

Pochettino mengendalikan 293 perlawanan untuk Spurs dan melangkah keluar dengan peratusan kemenangan 54 peratus -- Andre Villas-Boas (55 peratus) merupakan satu-satunya pengurus yang memiliki purata kemenangan yang lebih baik daripadanya dengan sekurang-kurangnya mengharungi 50 perlawanan.

Dia mencatat 113 kemenangan daripada 202 aksi Liga Perdana sekali gus memperoleh purata 1.89 mata bagi setiap perlawanan.

Pochettino pernah dikaitkan dengan beberapa kelab gergasi seperti Real Madrid, Juventus dan Paris Saint-Germain (PSG), tetapi baru-baru ini dia disebut-sebut sebagai calon utama untuk mengambil alih tugasan di Manchester United sekiranya pengurus di bawah tekanan, Ole Gunnar Solskjaer, dipecat.

Ketika ditanya adakah dia ingin kembali ke bidang pengurusan, Pochettino memberitahu Sky Sports: "Saya selalu bersedia untuk terlibat dalam kancah ini. Saya menggemari bola sepak. Ia minat, bukan lagi satu tugasan.

"Ia bukan satu tekanan ketika saya bertugas, ke sesi latihan, persiapan menghadapi perlawanan. Untuk bersaing bukanlah satu tekanan.

"Saya tidak sabar-sabar untuk kembali terlibat dalam kancah ini. Saya sukakan perlawanan.

"Kami memainkan peranan, kami berusaha melakukan sesuatu tetapi setiap hari ia tidak sama bagi pemain, kakitangan mahupun kelab. Itulah yang saya rindui."




Spurs hanya dua kali meraih kedudukan empat teratas dalam 22 kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) sebelum ketibaan Pochettino; mereka layak empat kali dalam lima musim di bawah bimbingannya.

Kelab London utara itu juga mara ke final Liga Juara-Juara (UCL) buat julung kalinya pada 2019 tetapi tewas 0-2 kepada Liverpool di Madrid.

Pengurus berusia 48 tahun itu kelihatan amat berminat untuk kembali ke EPL selepas enam tahun bergelar pemain Southampton dan Spurs.

"Saya telah menemui individu yang luar biasa di negara ini, budaya yang luar biasa. Saya jatuh cinta," tambahnya.