Mauricio Pochettino optimis Harry Kane akan cergas sepenuhnya untuk bersama Tottenham menentang Real Madrid dalam Liga Juara-Juara Eropah tetapi pengurus Spurs itu tidak mahu mengambil sebarang risiko terhadap penyerangnya itu.

Pemain antarabangsa England, Kane, terlepas aksi Tottenham ketika tewas 1-0 kepada Manchester United dalam Liga Perdana akibat kecederaan, Ahad lalu.

Pemenang dua kali Kasut Emas itu mengalami ketegangan otot di hamstring kirinya tetapi Pochettino berharap Kane sedia untuk menentang penyandang juara itu dalam saingan Kumpulan H di Wembley, Rabu ini.

"Bersama doktor dan pemain, kami akan mengambil keputusan terbaik untuk semua pihak," kata Pochettino.

"Ini bukan perlawanan terakhir atau final di mana kita boleh kata, 'OK, selepas ini adalah cuti'.

"Kami mesti menganalisis dan membuat keputusan terbaik untuk semua.

"Kami akan menilai keadaannya dan kemudian akan membuat keputusan terbaik. Perasaan saya agak baik. Tetapi bukan saya kata, Kane yang kata."

Kane mengetuai laluan Tottenham pada musim ini, dengan menjaringkan 13 gol dalam semua pertandingan -- lapan daripadanya dalam Liga Perdana.