Mauricio Pochettino memuji aksi cemerlang penjaga gol Tottenham Hotspur, Hugo Lloris, sambil melabelkannya sebagai antara pemain terbaik dunia selepas memainkan peranan utama dalam kemenangan 1-0 ke atas West Ham United.

Spurs meraih kemenangan hasil jaringan tunggal Erik Lamela menerusi tandukan tetapi babak kedua menyaksikan West Ham berpeluang untuk menyamakan kedudukan.

Marko Arnautovic meraih banyak peluang tetapi tiga aksi tangkas Lloris jelas menafikan hasrat pemain Austria itu untuk menghasilkan jaringan.

Penjaga gol Perancis itu dikritik di dalam serta luar padang dalam beberapa bulan terakhir tetapi Pochettino tidak meragui kemampuannya di Stadium London.

"Dalam babak pertama, kami beraksi dengan baik dan seharusnya meraih dua atau lebih banyak gol," kata Pochettino.

"Separuh masa kedua sangat sengit. West Ham memberi tekanan dan cuba menyumbat gol, mencipta peluang.

"Lloris sangat hebat. Dia merupakan salah seorang penjaga gol terbaik dunia dan sentiasa ada apabila anda memerlukannya."

Sementara itu, pemain tengah West Ham, Declan Rice, turut memuji usaha yang ditampilkan Lloris.

"Saya fikir ia satu perlawanan yang sengit dan menjadi satu kesilapan apabila dibolosi melalui satu hantaran lintang," kata Rice.

"Arnautovic terus mencuba tetapi Lloris adalah penjaga gol yang bagus dan Arnautovic tidak bernasib baik."