Mauricio Pochettino memberi amaran kepada pemain Tottenham Hotspur bahawa mereka baru melalui langkah kecil selepas menamatkan prestasi buruk di tempat lawan dengan kemenangan 4-0 dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah di Red Star Belgrade.

Tottenham mudah mengesahkan tiga mata dalam aksi awal pagi tadi selepas Son Heung-min menghasilkan dua gol sambil Giovani Lo Celso dan Christian Eriksen masing-masing menambah satu jaringan.

Keputusan itu menjadi kemenangan pertama buat Spurs di tempat lawan sejak 8 Mei lalu, melibatkan sembilan perlawanan dalam semua kejohanan, dan Pochettino mahu pasukannya membina semula keyakinan hasil daripada tiga mata yang diperoleh.

"Saya fikir ia satu keputusan yang bagus di tempat lawan," katanya.

"Kami perlukan perlawanan sebegini untuk memulihkan perasaan serta mendapatkan keyakinan.

"Prestasi kini sangat baik di dalam situasi yang sukar. Saya sangat gembira tetapi perlu mengekalkannya. Ini hanya satu langkah kecil."

Spurs muncul pasukan Inggeris pertama yang meraih kemenangan dalam Liga Juara-Juara di Stadium Rajko Mitic, setahun selepas Liverpool dipalit kekalahan di situ, sekali gus membuatkan Pochettino lebih gembira.

"Kami mempersiapkan diri sambil menyedari kekalahan yang ditanggung Liverpool di sini tahun lalu," tambahnya.

"Kami menjangkakan perlawanan yang sukar dan penting untuk tampil agresif serta cuba untuk mendominasi. Saya fikir persembahan kami dalam kawasan lawan agak cemerlang.

"Tuah juga menyebelahi kami untuk menjaringkan gol dalam babak pertama sambil lawan gagal melakukannya."

Lo Celso membuka tirai jaringan buat Tottenham di Belgrade dalam penampilan penuh sulungnya sambil Tanguyu Ndombele memberi suntikan buat barisan tengah dan pendatang baru, Ryan Sessegnon, yang kembali daripada kecederaan masuk sebagai pemain gantian di penghujung perlawanan.

Pochettino teruja dengan prestasi yang dipamerkan Lo Celso yang sebelum ini hanya tampil enam kali sebagai pemain gantian akibat kecederaan pinggul.

"Saya fikir ia satu persembahan yang sangat bagus," katanya.

"Sentiasa sukar buat seorang pemain baru apabila dia tiba selepas pasukan melalui kempen cemerlang musim lalu.

"Dia tiba di penghujung pramusim. Jelas sekali dia ketinggalan berbanding pemain lain, kemudian dia mengalami kecederaan bersama skuad kebangsaan. Dia berusaha untuk mendapatkan keyakinan dan kecergasan sebelum menunggu peluang untuk berada dalam kesebelasan utama dan menikmati peluang itu.

"Saya gembira kerana dia seorang pemain bagus, memiliki perwatakan yang hebat. Kini, dia hanya perlukan masa, sama seperti Ndombele dan Sessegnon. Mereka masih muda.

"Mereka tiba dalam keadaan pasukan melalui detik sukar dan bukan persekitaran yang baik. Sebab itu saya sering memberitahu bahawa saya tidak meletakkan harapan tinggi. Saya gembira dengan mereka dengan apa yang dapat disediakan buat pasukan. Mereka perlukan masa dan saya gembira dengan mereka."

Menduduki tangga kedua dalam Kumpulan B, Spurs kini empat mata mengatasi Red Star dan berpeluang mengesahkan slot ke pusingan 16 seandainya dapat menewaskan Olympiacos di laman sendiri hujung bulan ini.