Pochettino bermula langkah sumbang di PSG

Oleh Shaiful Shamsudin 7 Januari 2021 4295
 Pochettino bermula langkah sumbang di PSG
SAINT-ETIENNE 1 PSG 1 

Mauricio Pochettino berpuas hati dengan usaha Paris Saint-Germain (PSG) ketika berkunjung ke Saint-Etienne, awal pagi tadi, tetapi sedar masih banyak peningkatan yang harus dilakukan.


PSG sekadar seri 1-1 dalam perlawanan sulung kendalian Pochettino itu sejak dilantik menggantikan Thomas Tuchel.

Juara bertahan Ligue 1 itu naik ke tangga kedua berikutan kekalahan Lille kepada Angers untuk ketinggalan tiga mata di belakang pendahulu, Lyon.

Tuan rumah memanfaatkan kesilapan Idrissa Gueye untuk mendahului perlawanan sebelum gol pertama liga daripada Moise Kean pada tahun ini memadam jaringan pembukaan Romain Hamouma itu.


 

Saint-Etienne sempat menggegar palang menerusi percubaan Denis Bouanga selepas rehat, sementara Kean terlepas peluang menarik dan Angel Di Maria pula memaksa Jessy Moulin menyelamatkan satu-satunya percubaan tepat PSG dalam baki 45 minit permainan. 

"Saya gembira dengan usaha pemain," katanya kepada Telefoot. 

"Kami berusaha sejak hari pertama tiba di sini lagi dalam usaha mengatur konsep yang berbeza.

"Saya gembira dengan usaha mereka, sikap mereka. Ini hanyalah permulaan. Mereka perlu menyesuaikan diri dengan kami kakitangan dan kami juga begitu. Ini adalah peranan yang perlu dilakukan untuk kami saling mengenali dengan lebih erat. 

"Kami harus memperbaiki diri dalam beberapa situasi terutama mengenai penguasaan bola, tetapi itu sukar ekoran persiapan yang sangat singkat.

"Saya kecewa, kami adalah PSG dan kami mahu menang. Tetapi kami tidak mempunyai banyak masa untuk membuat persiapan. 

"Kami masih memiliki banyak hal untuk diperbaiki dan dikembangkan. Ini bukan keputusan yang kami mahukan."

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen