Bos Tottenham, Mauricio Pochettino, bersedia untuk membawa Danny Rose kembali ke dalam skuad bagi menghadapi Borussia Dortmund dalam Liga Juara-Juara Eropah di Signal Iduna Park, awal pagi esok.

Pemain pertahanan itu, yang mengkritik polisi perpindahan dan gaji Spurs dalam satu temubual pada Ogos lalu, ditinggalkan skuad dalam kekalahan 2-0 kepada Arsenal, Sabtu lalu.

Pemain antarabangsa England itu berhempas-pulas bersaing dengan Ben Davies dalam pasukan sejak pulih daripada kecederaan.

Dia kini dikaitkan akan meninggalkan kelab itu, dengan Manchester United dilaporkan berminat terhadapnya.

Pochettino, bagaimanapun, mengatakan tiada masalah dalam hubungannya dengan pemain itu, dan dengan senang hati menurunkannya untuk menentang Dortmund jika dia boleh membuktikan kecergasannya.

"Dia melakukan tugas dengan baik," katanya dalam sidang akhbar. "Sesi latihan pada Sabtu sukar untuk dia. Dia akan berlatih bersama pasukan dan kami akan memutuskan sama ada dia akan bermain.

"Saya tidak boleh bercakap mengenai khabar angin. Jika anda bertanya adakah kami mempunyai masalah, saya katakan tidak. Tiada masalah," ujarnya.

Spurs memastikan tempat mereka dalam pusingan 16 selepas menewaskan Real Madrid 3-1 dalam perlawanan keempat.

Mereka akan menjamin kedudukan teratas dalam Kumpulan H jika melakar kemenangan di Signal Iduna Park.