Jurulatih negara, Tan Cheng Hoe, menuntut anak buahnya agar melengkapkan aksi menentang Timor Leste dengan kemenangan untuk memastikan Harimau Malaya berada dalam kedudukan lebih baik bagi undian pusingan kedua kelayakan Piala Dunia Qatar 2022/Piala Asia China 2023, bulan depan.

Kemaraan skuad negara ke pusingan kedua kelayakan sudah di dalam genggaman selepas menang 7-1 ke atas lawan itu dalam aksi pertama play-off di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Jumaat lalu.

Malah, keputusan itu juga menyaksikan barisan kendalian Cheng Hoe tampak tidak lagi dibelenggu keresahan untuk mengharungi perlawanan timbal balik play-off berkenaan.

Namun, skuad kebangsaan tetap mempunyai misi penting yang perlu dilunaskan esok berikutan kemenangan ke atas lawan yang sama itu penting untuk meningkatkan ranking.

"Ranking penting menjelang undian peringkat kedua kelayakan yang akan melibatkan 40 pasukan terbaik Asia.

"Apa yang penting, saya mahu pemain turun di Bukit Jalil dengan misi untuk mencatat keputusan yang baik," jelasnya.

Sementara itu, jurulatih Timor Leste, Nario Tsukitate, mendedahkan keharmonian dalam pasukannya terjejas susulan kekalahan teruk dalam aksi pertama.

Difahamkan, salah seorang penolong jurulatih skuad itu sudah meninggalkan pasukan berkenaan kerana tidak berpuas hati dengan pendekatan Tsukitate.

"Sangat buruk, sangat buruk.

"Saya tidak tahu sama ada akan kalah 1-7 lagi atau 1-10, tetapi kami mempunyai peluang untuk mencubanya lagi," katanya.

Sementara itu, tonggak pertahanan negara, Matthew Davies, bertekad terus memainkan peranan sebagai pencetus jaringan.

Dalam pertemuan pertama, tonggak Pahang tersebut cemerlang menerusi dua hantaran gol dalam kemenangan tersebut.

"Pendekatan Cheng Hoe serasi dengan saya kerana beliau mahukan pertahanan sayap melakukan asakan, itulah yang saya gemar lakukan.

"Saya bernasib baik untuk menyumbangkan dua hantaran gol dan berharap dapat mengulanginya lagi," katanya.

Pemain berdarah campuran Malaysia-Australia itu turut mengakui kumpulan pemain yang dimiliki skuad negara ketika ini antara yang terbaik.

Bagi ketua pasukan Timor Leste, Joao Pedro Da Silva, pasukannya berdepan misi mustahil untuk bangkit sambil mendedahkan keyakinan mereka merudum susulan kekalahan aksi pertama.

"Kami harus bermain dengan serius lagi.

"Ya, semua penyerang menginginkan gol tetapi bagi saya, saya lebih cenderung tentang kerjasama pasukan ketika menentang Malaysia," katanya.