Pemangku ketua jurulatih PKNS FC, Adam Abdullah, menjelaskan pasukan itu akan dibarisi lebih ramai pemain muda musim depan walaupun terdapat beberapa tonggak senior yang masih dikekalkan.

Kapten pasukan, Safee Sali, Khyril Muhymeen Zambri dan K. Gurusamy adalah antara 10 pemain yang dikekalkan PKNS untuk menghadapi musim baru Liga Malaysia.

Namun, Adam memberi jaminan sebahagian besar pemain baru yang bakal menyertai pasukan berusia bawah 23 tahun.

Penyerang skuad bawah 22 tahun negara, Jafri Firdaus Chew Abdullah, dan pertahanan kiri Kelantan, Mohd Qayyum Marjoni Sabil, adalah antara muka baru yang akan membarisi PKNS musim depan.

"Mungkin tidak ramai pemain senior yang akan kekal, mungkin dalam empat hingga lima pemain.

"Secara keseluruhan, skuad musim depan akan dibarisi pemain-pemain muda dalam lingkungan umur 23 hingga 25 tahun," katanya.

Dalam pada itu, bekas jurulatih pasukan kebangsaan, Datuk K. Rajagobal, yang dijangka diumumkan selaku pengendali baru PKNS sudah kelihatan di pusat latihan kelab itu.

Namun, Rajagobal enggan ditemubual selagi pihak pengursan belum membuat pengumuman rasmi mengenai pelantikannya.

"Pemain-pemain senior yang dikekalkan dipilih kerana mencapai tahap (prestasi) yang diletakkan oleh pihak pengurusan.

"Pemain-pemain baru dan lama akan melaporkan diri pada minggu pertama Disember bagi menghadapi kempen pra-musim dan kemungkinan besar kami akan ke Indonesia," tambah Adam.

PKNS menamatkan saingan di tangga ketujuh dalam Liga Super musim ini dan beraksi hambar dalam Piala Malaysia selepas terkandas pada peringkat kumpulan, selain mara ke pusingan kedua Piala FA.