PKNS FC masih belum pasti mengenai idea penggabungan bersama Selangor tatkala pasukan kelab itu sudah melakukan persediaan hampir 80 peratus bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim depan.

Selain mendapati masa semakin suntuk, Presiden PKNS FC, Siti Zubaidah Abdul Jabar, mahu satu senario tersebut menguntungkan kedua-dua belah pihak.

Difahamkan, pihak kerajaan negeri telah mengadakan perbincangan dengan PKNS berhubung perkara tersebut, bagaimanapun, Zubaidah enggan terburu-buru membuat keputusan.

"Saya memerlukan penjelasan daripada pihak kerajaan negeri mengenai struktur penggabungan yang dicadangkan.

"Saya percaya satu mekanisme perlu dikaji dengan lebih lanjut kerana apabila kita menggabungkan dua pasukan, banyak perkara yang perlu dilihat, antaranya daripada aspek perundangan," jelas Zubaidah.

Perkara yang paling menjadi kerisauan Zubaidah ialah berhubung soal pemain memandangkan PKNS telah membuat keputusan untuk mengekalkan 20 pemain bagi menghadapi musim depan.

Di pihak Selangor, difahamkan seramai 17 pemain masih mempunyai ikatan kontrak, termasuk pemain import dari Indonesia, Andik Vermansyah.

Apa pun terjadi, Zubaidah tetap mahu pemain PKNS diberi keutamaan terlebih dahulu berhubung pembentukan skuad di antara kedua-dua pasukan.

"Kami telah pun menandatangani sebahagian besar pemain. Ada antara mereka juga masih mempunyai baki kontrak selama setahun."