Pasukan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC terus menguji pelatihnya dengan mengadakan perlawanan pra-musim dengan Selangor di Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM), malam ini.

Ketua jurulatih, Abu Bakar Fadzim, berkata perlawanan persahabatan ketiga itu medan menguji pemain-pemain, terutama tenaga muda serta muka baru terutama import.

Katanya, dia sedang menguji pemain import yang dibawa ejen serta bekas pemain MIFA, M. Mugenthiran, 24, dan bekas pemain Felda United, Mohd Fazrul Hazli Mohd Kadri.

"Mugenthiran adalah bekas pemain PKNP FC. Dia minta diberikan peluang menyarung semula jersi bekas pasukannya.

"Hazli juga bukan asing kerana pemain kelahiran Lenggong itu pernah dua kali beraksi untuk Perak, " katanya.

Abu Bakar juga mahu menguji Khairul Asyraf Shahizah dan Muhd Rafiq Faeez Muhd Fuad yang menyertai PKNP FC secara pinjaman dari pasukan Perak The Bos Gaurus.

Jurulatih itu berkata dia masih menunggu ketibaan pemain import yang sepatutnya menyarung jersi pasukan itu.

Sebelum ini, PKNP FC mengikat pemain kebangsaan Ghana, Thomas Abbey, bagi menerajui jentera tengahnya.

"Setakat ini calonnya sudah ada tetapi kami masih mencari seorang penyerang dan akan terus menguji calon yang datang," tambahnya.

Sebelum ini, PKNP FC bertemu Pulau Pinang dan UiTM FC dalam perlawanan persahabatan.