PKNP hanya tunggu isyarat

Oleh Azizan Hashim 11 November 2018 331
PKNP hanya tunggu isyarat

Jurulatih, Abu Bakar Fadzim, kini menunggu isyarat daripada presiden baru Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), Datuk Zainol Fadzi Paharuddin, untuk memulakan persiapan bagi menghadapi Liga Super 2019.

"Saya tunggu isyarat lampu hijau daripada Datuk Zainol untuk memulakan persiapan. 

"Beliau baru pulang daripada mengerjakan umrah dan ada perkara-perkara yang perlu diselesaikan terlebih dahulu, terutama daripada segi penstrukturan," katanya. 

Apapun, Abu Bakar berkata dia mengekalkan 10 pemain skuad musim lalu bagi pembentukan skuad Liga Super 2019.

Pemain-pemain tersebut termasuk Mohamad Hafiz Ramdan dan Ahmad Shukri Hamid merupakan kerangka PKNP FC musim Ini.

"Ada lebih kurang 10 pemain musim ini yang masih akan bersama pasukan tahun depan.

"Tenaga mereka akan digembleng  dengan 10 pemain skuad Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-19 baru lalu yang meraih pingat emas, " katanya.

Abu Bakar berkata beberapa pemain terbabit telah diberi pendedahan beraksi dalam Liga Super, musim ini.

"Mereka inilah yang membantu pasukan kekal dalam Liga Super 2019.

"Pada dasarnya, PKNP sudah ada pemain untuk membentuk pasukan .

"Sebagai pasukan berbajet kecil, cukuplah dengan pemain yang ada. Saya kena ukur baju di badan sendiri.

"Cuma saya perlu mencari tenaga import baru kerana yang musim ini semua sudah ditamatkan kontrak," katanya.

Tentang Penulis

Azizan Hashim

Komen