Perbadanan Kemajuaan Negeri Perak (PKNP FC) dan MISC-MIFA mahu terus kekal fokus dalam perlawanan akhir kedua Piala FAM di Stadium Perak malam esok walaupun isu perlawanan akhir pertama belum diputuskan.
Dalam sidang media yang berlangsung hari ini, jurulatih PKNP FC, Abu Bakar Fadzim, berkata kes pemainnya (G. Mugenthirran) diturunkan secara tidak sah kerana menerima kad kuning kedua masih dalam siasatan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Tambah Abu Bakar, "Bantahan telah dibuat MISC-MIFA tetapi selagi tiada kata putus FAM, kami anggap keadaan seperti biasa.
"Kami juga berharap tuah menyebelahi PKNP FC kerana mereka tidak pernah tewas di laman sendiri," ujarnya lagi.
Sementara itu, jurulatih MISC MIFA, Jacob Joseph, berkata dia dan pemainnya tidak mahu isu itu mengganggu konsentrasi pasukan.
"Biarlah bantahan diuruskan oleh pihak pengurusan (MISC MIFA). Saya dan pemain ada tugas lebih getir menghadapi PKNP FC di Ipoh".
Dalam perlawanan akhir pertama lalu, MISC-MIFA mengatasi PKNP FC 1-0.