Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) akan menjalankan sesi pemilihan pasukan PKNP FC Piala Presiden 2017 bertempat di Padang Polis Simpanan Persekutuan (FRU) Ipoh, selama dua hari bermula esok.

Menurut jurulatih PKNP FC, Abu Bakar Fadhim, pasukan itu adalah sebahagian daripada pelan aras pembangunan bola sepak PKNP.

"Walaupun PKNP FC baru dalam Liga Perdana tapi kami lihat berpotensi untuk pergi lebih jauh. Oleh itu kami perlu mempersiapkan diri dan mencari pemain muda berbakat untuk diserapkan ke pasukan utama di masa hadapan.

"Ini adalah peluang kepada anak muda untuk menempatkan diri dalam kancah bola sepak tanah air," katanya.

Selain mempunyai pencapaian menarik, kriteria utama mestilah berumur dalam lingkungan 17 hingga 20 tahun.

Pemilihan dilakukan dalam dua sesi iaitu jam 8-10 pagi dan di sebelah petang, jam 4-6.