Miralem Pjanic menyifatkan kehadiran Cristiano Ronaldo di Juventus adalah satu pencapaian yang mengagumkan tetapi dia menolak untuk memberi jaminan mengenai masa depannya bersama juara Itali itu.

Ronaldo, yang merupakan pemenang lima kali Ballon d'Or, meninggalkan Real Madrid untuk menyarung jersi Juve selepas melengkapkan perpindahan bernilai EUR112 juta (RM529 juta) bulan ini.

Pemain berusia 33 tahun itu yang turut memegang status penjaring terbanyak sepanjang zaman buat Los Blancos telah menandatangani kontrak selama empat tahun bersama kelab gergasi Serie A itu.

Ditanya mengenai rakan sepasukannya yang baru itu, Pjanic memberitahu Sky Sport Italia: "Dia adalah satu pencapaian hebat, pemain yang menakjubkan."

Bagaimanapun, masa depan Pjanic di Turin masih belum dapat dijamin tatkala pengendali baru Chelsea, Maurizio Sarri, dilaporkan cuba untuk memancing pemain Bosnia-Herzegovina itu ke Stamford Bridge.

Menurut spekulasi yang diperkatakan, Chelsea kini sedang melakukan rundingan untuk membawa masuk dua pemain dari Juve, Daniele Rugani dan Gonzalo Higuain.

Pjanic, yang tiba dari Roma pada 2016, kini muncul selaku sasaran utama buat The Blues setelah Sarri bercadang untuk mendapatkan seorang lagi pemain tengah.

Setakat ini, Juventus telah membawa masuk Ronaldo, Joao Cancelo, Emre Can dan Mattia Perin, sambil bintang Manchester United, Paul Pogba, turut dikaitkan untuk kembali bersama pasukan.