Miralem Pjanic memberikan amaran kepada Juventus supaya menjangkakan cabaran daripada Manchester United dalam aksi Liga Juara-Juara (UCL), awal pagi Khamis ini.

Jaringan Paulo Dybala dalam separuh masa pertama membenarkan Juve meraih kemenangan 1-0 dalam aksi Kumpulan H di Old Trafford, Oktober lalu.

Juara Serie A itu, yang tidak tewas dalam kesemua kejohanan musim ini, akan mengesahkan kemaraan ke peringkat seterusnya selaku juara kumpulan jika meraih tiga lagi mata dalam perlawanan di Stadium Allianz.

Pjanic menjangkakan skuad kendalian Jose Mourinho itu akan berusaha untuk bangkit dalam perlawanan berkenaan di saping menyedari ancaman yang mampu dihasilkan oleh bekas bintang Bianconeri, Paul Pogba.

"Pogba adalah seorang pemain yang berkualiti, sama seperti Nemanja Matic atau Juan Mata atau Fred," kata Pjanic.

"United memiliki barisan pemain yang mampu memberikan ancaman kepada Juve, jadi kami akan berusaha mengulangi persembahan seperti di Old Trafford.

"Kami telah bermain dengan baik sebelum ini tetapi hanya mampu menjaringkan satu gol.

"Ia adalah perlawanan di antara dua kelab terbaik Eropah, tiada jaminan dalam saingan UCL," ujarnya.

Juve meraih kemenangan 3-1 ke atas Cagliari untuk kekal mendahului Serie A dengan kelebihan enam mata.

Pjanic beraksi selama 70 minit sebelum mengalami ketegangan otot tetapi pemain berusia 28 tahun itu yakin akan kembali cergas untuk berdepan United.