Pengarah Juventus, Fabio Paratici, berkata Miralem Pjanic hanya akan meninggalkan pasukan itu untuk menyertai Barcelona selepas pemain tengah berbangsa Bosnia itu sudah menyatakan kesudiannya untuk menyertai pasukan juara LaLiga berkenaan.

Pjanic akan berpindah ke Barca pada penghujung musim 2019-20 dengan Arthur pula menyertai arah bertentangan sebagai sebahagian daripada pertukaran buat pemain berprofil tinggi itu.

Bintang Juve itu masih tersenarai dalam kesebelasan utama dan bermain selama 74 minit ketika menewaskan Genoa 3-1 dalam perlawanan Serie A awal pagi tadi.

Ditanya mengenai Pjanic selepas kemenangan itu, Paratici berkata kepada Sky Sport Italia: "Secara logiknya, jendela perpindahan sebahagiannya mengenai perancangan dan sebahagian lagi mengenai peluang.

"Dalam kesepakatan seperti ini, kami mempunyai kedua-dua elemen itu.

"Pjanic pemain yang amat penting buat kami, jadi pilihan itu ada, kami bercakap dengan Miralem dan dia gembira untuk berada d sini, jadi satu-satunya kelab yang boleh membuatkan dia meninggalkan kami adalah Barcelona.

"Kami menemui pemain ini, Arthur, yang sudah lama kami cari dan dia lebih muda daripada Pjanic," katannya.