Kelab Liga FAM, Petaling Jaya Rangers, menjadi antara pasukan terawal mengorak langkah memperkuatkan cabaran musim depan selepas berjaya menyambar tiga pemain muda Sarawak, Tommy Mawat, Nur Shamie Iszuan dan Shreen Tambi untuk musim 2018.

Kehadiran bekas penolong jurulatih bawah 23 tahun negara, Hassan Sazali Waras, dilihat menjadi daya tarikan mengapa tiga pemain ini menyertai PJ Rangers biarpun beraksi dalam Liga FAM.

Ditambah PJ Rangers turut serius memburu beberapa lagi pemain muda berpotensi, ketiga-tiga permata Sarawak ini yakin mereka mampu membantu pasukan itu melangkah ke Liga Perdana 2019.

Mereka bertiga telah menandatangani memorandum persefahaman (MOU) untuk menyertai PJ Rangers bermula 1 Disember ini.

“Ini mungkin permulaan kepada kerjaya bola sepak saya. Ini jalan terbaik untuk pembangunan diri saya. Saya akan memperbaiki kelemahan saya di sini,” kata Tommy.

“Saya mahu bermula dari bawah. Insya-Allah kalau ada rezeki menjadi juara, kami boleh bermain dalam Liga Perdana,” kata Nur Shamie.

Sementara itu, Hassan berasa teruja dengan kehadiran dua pemain bawah 22 tahun negara, Tommy dan Nur Shamie, yang dijangka mampu membantu kekuatan bahagian sayap selain Shreen di posisi tengah.

Ia sejajar deengan polisi PJ Rangers yang mahu mengetengahkan sepenuhnya pemain muda dalam skuad pada tahun depan.

“Jadi, dengan kekuatan yang mereka ada, termasuk pengalaman dan kemampuan, saya berasa yakin mereka dapat membantu pasukan bagi menghadapi musim depan,” kata Hassan.