Piya tanya KAFA tunggakan gajinya

Oleh Farizal Yusoff 7 Jun 2020 48
Piya tanya KAFA tunggakan gajinya
Bekas kapten The Red Warriors (TRW), Mohd Badhri Radzi atau Piya, kecewa dengan kegagalan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) menunaikan janji membayar tunggakan gaji sebagaimana yang dipersetujui sebelum ini.

"Nampaknya, untuk tiga bulan terakhir ini (April, Mei dan Jun), saya masih belum menerima sebarang bayaran.

"Sepatutnya, sebelum lima haribulan setiap bulan, KAFA akan mengkreditkan sejumlah wang ke dalam akaun peribadi saya.

"Saya ada komitmen keluarga yang perlu dijalankan. Harap KAFA tidak memberi sebarang alasan dan boleh melunaskan gaji tertunggak itu," katanya.

Piya yang juga pemenang anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2013 berharap KAFA tidak hanya berfikir untuk melunaskan tunggakan gaji bekas pemain import sebaliknya ramai juga pemain tempatan yang mengalami nasib yang sama.

"Kita baca di media sosial betapa pengurusan KAFA sedang berusaha gigih untuk menjelaskan tuntutan Cassio ( De Jesus) dan Bruno Lopes.

"Kami pemain tempatan yang masih dibelenggu isu tunggakan gaji juga harap dilayan secara adil.

"Lebih mengecewakan, KAFA masih belum menghubungi saya secara peribadi untuk berbincang isu tersebut," ulasnya.

Untuk rekod, tunggakan gaji Piya sebelum ini diuruskan oleh After Image Sdn Bhd namun pengarah urusannya, Datuk Wan Rakemi Wan Zahari telah membuat keputusan menarik diri daripada menguruskan skuad Liga Perdana Kelantan musim ini.

Keputusan mengejut itu menyebabkan KAFA terpaksa berusaha lebih gigih mencari dana kewangan termasuklah merayu bantuan kerajaan negeri Kelantan.

Tentang Penulis

Farizal Yusoff

Komen