Andrea Pirlo mengesahkan bahawa penggempur Barcelona, Luis Suarez, mustahil akan bergabung dengan Juventus tetapi berikrar juara Serie A itu akan terus memburu penyerang baru.

Walaupun kelibat Suarez amat diminati Bianconeri, proses mendapatkan pasport Itali buat pemain, yang akan mencecah usia 34 tahun itu Januari depan, adalah rumit.

Suarez memerlukan kewarganegaraan itu untuk membolehkannya berpindah memandangkan kuota bukan pemain Kesatuan Eropah (EU) skuad itu sudah diisi dan dia dilaporkan layak untuk mengajukan permohonan tersebut berdasarkan latar belakang keluarga isterinya.

Prospek untuk Suarez bekerjasama dengan bekas seteru di kem Real Madrid, Cristiano Ronaldo, di Itali pasti menggiurkan, lebih-lebih Pirlo mengizinkan Gonzalo Higuain menyertai Inter Miami -- perpindahan itu disahkan semalam.

Bekas pemain tengah dominan itu berkata kepada Corriere dello Sport: "Ia perpindahan yang sukar atas faktor kesuntukan masa menguruskan pasportnya ... tidak mungkin dia akan menjadi penyerang tengah kami. "



Suarez tidak tersenarai untuk perebutan Trofi Joan Gamper menentang Elche, awal pagi tadi, sambil pengurus baru, Ronald Koeman, berhasrat untuk melepaskannya.

Bercakap dalam sidang media semalam, pengurus The Old Lady itu memberitahu wartawan lagi: "Kami semua menantikan penyerang tengah. Pasaran perpindahan sudah lama berjalan.

"Kami tenang dan senang dengan apa yang kami ada. Tidak terburu-buru."

Pirlo akan menghadapi perlawanan kompetitif pertama sejak beralih ke bidang pengurusan dengan Sampdoria menjadi ujian pertamanya dalam Serie A, awal pagi esok, tatkala gergasi Turin itu melancarkan usaha untuk meraih Scudetto ke-10 berturut-turut.

"Keraguan? Saya tidak memilikinya," katanya.

"Kepastiannya? Saya sekarang di Juve, saya mengurus pasukan juara, mudah untuk saya masuk (mengambil alih jawatan) dan saya baik-baik saja.

"Saya tidak perlu dibandingkan dengan pendekatan Sarri: kami memiliki misi yang sama."

Tambahnya: "Saya mahu menerapkan idea saya dalam bola sepak, ia mestilah agresif dan berdasarkan penguasaan permainan."