BENEVENTO 1 JUVENTUS 1

Pengurus Juventus, Andrea Pirlo, mempertahankan keputusannya mengetepikan penggempur handalan, Cristiano Ronaldo, selepas pasukannya diikat 1-1 oleh Benevento, awal pagi tadi.


Pengurus itu sudah pun memaklumkan lebih awal bahawa Ronaldo tidak akan ikut serta dalam kunjungan ke Ciro Vigorito atas faktor "sedikit letih".

Pemain antarabangsa Portugal itu telah beraksi 14 kali buat kelab dan negara musim ini dengan mengumpul lapan gol daripada perlawanan tersebut, termasuk dua perlawanan terakhir bersama Bianconeri.

Juve bergelut ekoran ketiadaan Ronaldo apabila hanya sekali dapat memanfaatkan 16 percubaan yang dicipta apabila jaringan Alvaro Morata dalam separuh masa pertama dipadamkan Gaetano Letizia.

Begitupun, Pirlo puas dengan risikonya merehatkan pemain berusia 35 tahun itu biarpun Juve sebenarnya sudah layak ke pusingan 16 Liga Juara-Juara (ULC) dengan baki dua perlawanan lagi.




"Dia mengalami sedikit masalah pada Rabu lalu tetapi masih mahu terlibat dalam UCL," kata Pirlo kepada Sky Sport Italia.

"Apabila anda juga mewakili pasukan kebangsaan, adalah normal untuk berasa lesu dan memerlukan rehat. Kali ini giliran Ronaldo untuk diketepikan.

"Malangnya kerana dia pasti menjadi tambah nilai dengan membuktikannya dalam setiap perlawanan. Tetapi kami harus meneruskan perjuangan kami biarpun dia tidak terlibat.

"Dia keletihan dan memerlukan rehat, yang normal ketika anda beraksi dalam banyak perlawanan dalam tempoh singkat. Kami bukan satu-satunya kelab yang dalam situasi ini."

Juve hanya menang sekali daripada sembilan perlawanan Serie A di tempat lawan dan dibolosi sekurang-kurangnya sekali dalam 10 perlawanan terakhir mereka, sekali gus mengulangi pencapaian musim lalu sebelum pelantikan Pirlo.

Bianconeri kini tiga mata di belakang Milan, yang akan menjadi tuan rumah kepada Fiorentina, lantas Pirlo mengakui pasukannya perlu belajar untuk bertindak lebih licik.

"Kami menguasai babak pertama dan berpeluang membunuhnya, tetapi kami belum tahu membaca pelbagai momen perlawanan," katanya.

"Kami mendapat sepakan sudut dalam separuh masa masa, segera memanfaatkannya dan menjaringkan gol. Kami seharusnya mampu mengawal keadaan dan bertahan sehingga rehat.

"Ini bukan pertama kalinya kami melepaskan gol sebelum waktu rehat.

"Kami sedang berusaha untuk mengembangkan pendekatan ini. Kami memiliki seorang lagi pemain sayap menyerang, seorang lagi cenderung mengasak di dalam kotak penalti. Kadang-kadang ia menjadi dan ada masanya tidak."

Morata meningkatkan penglibatan golnya kepada 11 musim ini -- lapan jaringan dan tiga bantuan gol -- menyumbang 48 peratus daripada 23 gol buat Juve.

Namun, pemain antarabangsa Sepanyol itu dikenakan kad merah selepas wisel penamat ditiupkan berhubung kata-kata yang dilemparkan pengadil dalam perlawanan yang menyaksikan enam kad kuning dilayangkan dalam tempoh 10 minit terakhir.

Pirlo mengakui pasukannya tidak mempunyai ketenangan untuk merobek gawang Benevento sekalipun menguasai babak kedua.



"Kami agak kelam-kabut dan kehilangan ketenangan," katanya lagi.

"Kami tidak berjaya mengubah deretan peluang kepada gol.

"Sayangnya perlawanan bertukar huru-hara dan tidak tersusun, kami seharusnya memperagakan permainan bersih dan mengawal perlawanan. Jika tidak, kami akan bergelut seperti hari ini dan ketika menentang Crotone.

"Kami harus belajar mengenai detik permainan, bilakah perlu membunuhnya dan masa yang sesuai untuk mengendalikan tempo"