Pengurus Juventus, Andrea Pirlo, menaruh harapan tinggi selepas menggantikan Maurizio Sarri untuk mengemudi juara bertahan Serie A itu mengintai Scudetto ke-10 berturut-turut termasuk Liga Juara-Juara (UCL).

Bianconeri secara mengejut beralih kepada sentuhannya bulan lalu sejurus pemecatan Sarri, yang memimpin pasukan gergasi Itali itu meraih gelaran Serie A yang kesembilan berturut-turut.

Sarri hilang jawat di sebalik membantu mereka mengekalkan dominasi dalam liga domestik, namun hanya satu mata di depan Inter dan terkandas kepada Lyon dalam pusingan 16 Liga Juara-Juara (UCL).

Dengan Pirlo -- yang dinaikkan pangkat daripada jawatan asalnya sebagai jurulatih skuad B-23 setelah hanya sempat menggalas tugas itu selama seminggu -- kini akan mengemudi pasukan utama dan bekas pemain tengah Itali tersebut memberikan penilaian terhadap skuadnya menjelang aksi pembukaan liga berdepan Sampdoria, 21 September ini.

"Kami akan menjadi diri sendiri, kami pasti akan mempunyai keinginan yang besar dalam usaha membuktikan kepada peminat bahawa Juventus mahu memenangi Scudetto ke-10 berturut-turut dan mungkin mara ke final UCL," kata pengurus berusia 41 tahun itu kepada JTV.

"Masih wujud keinginan besar dan harapan tinggi dalam skuad ini, jadi kami ingin melakukan yang terbaik."

"Saya sangat terkesan dengan pasukan ini. Kami bermula dengan semangat dan keinginan untuk kembali," tambahnya.

"Selepas beberapa hari, mereka akan melaporkan diri untuk pasukan kebangsaan tetapi kami perlu terus bekerjasama dengan mereka yang kekal di sini.

"Mereka ingin melakukannya dengan baik, mereka telah menemui pendekatan baru dengan beberapa modul latihan yang tidak pernah mereka lakukan dan oleh itu, ia telah mencetuskan semangat mereka.

"Jalannya akan panjang, apatah lagi kami tidak mempunyai banyak waktu untuk berlatih memandangkan ramai pemain yang tiada.

"Tetapi kami mengadakan persiapan yang bagus di samping pemain yang ada ketika ini. Saya harap beroleh kesempatan untuk menyampaikan beberapa konsep yang sedang kami kerjakan pada hari pertama dan berharap dapat mencari sesuatu di tengah padang."

Trofi UCL amat didambakan di Turin dengan The Old Lady gagal merangkulnya piala itu sejak kali terakhir melakukannya pada 1996.

Sejak mewarnai kempen Eropah sepanjang 24 tahun lalu, Juve muncul finalis pada 1997, 1998, 2003, 2015 dan 2017.

"Kami sedang mengusahakan sesuatu. Kami cuba bertindak agresif dan mempunyai keinginan untuk merampas semula bola sebaik kehilangannya," katanya.

"Berdasarkan edisi lalu, pasukan yang maju adalah pasukan yang berusaha mengembalikan penguasaan bola dalam waktu sesingkat yang mungkin. Itu seharusnya menjadi ciri yang membezakan kami dengan pasukan lain."