JUVENTUS 3 LAZIO 1

Andrea Pirlo menghamburkan pujian terhadap semangat berpasukan Juventus selepas mereka dipaksa bangkit untuk memastikan kemenangan 3-1 ke atas Lazio dalam Serie A, awal pagi tadi.


Bianconeri ketinggalan selepas ledakan Joaquin Correa pada minit ke-14 sebelum meraih tiga mata hasil jaringan Adrien Rabiot termasuk satu sepakan penalti daripada penyerang, Alvaro Morata, dalam separuh masa kedua.

Jaringan berganda Morata itu menjadikan jumlah penglibatan golnya musim ini kepada 15 (tujuh gol, lapan bantuan jaringan) yang merupakan pencapaian terbaiknya dalam kempen Serie A.

Kejayaan di tempat sendiri itu menyaksikan Juve terus menguasai tangga ketiga, kini ketinggalan tujuh mata di belakang pendahulu Inter.

Menjelang pertemuan kedua pusingan 16 Liga Juara-Juara (UCL) menentang Porto, awal pagi Rabu depan, di mana wakil Portugal itu memiliki kelebihan 2-1, Pirlo memilih untuk merombak pasukannya dalam aksi liga berkenaan.

Penjaring gol terbanyak Serie A, Cristiano Ronaldo, bermula di bangku simpanan dan Federico Bernardeschi dikerahkan sebagai bek kiri sementara Danilo pula digunakan sebagai pemain tengah bertahan.



Walaupun Pirlo kecewa dengan kelembaban anak buahnya pada awal permainan, dia kemudian mampu meleretkan senyuman apabila masih meraih mata penuh biarpun ketinggalan buat kali pertamanya sejak kemenangan 2-1 ke atas Torino, Disember lalu.

"Kami bermula dengan buruk dan dibolosi akibat hantaran belakang yang buruk, tetapi seluruh pasukan kemudian memberi reaksi hebat walaupun terjejas tanpa pemain utama," katanya kepada DAZN.

"Kami tidak berputus asa, kami mulai meningkatkan tempo permainan dan itu adalah perkara yang paling penting.

"Kami terlalu memikirkan perlawanan Selasa ini (waktu tempatan). Kami tahu malam ini ibarat final, ada yang pemain yang perlu beraksi bermain di posisi baru dan menunjukkan profesionalisme dan semangat pengorbanan yang tinggi.

"Apa yang paling penting adalah tiga mata. Danilo sudah bersiap sedia membarisi bahagian tengah, sementara Bernardeschi layak atas semua pujian ini kerana perlu bermain sebagai bek kiri.

"Apa yang paling saya suka adalah reaksi pasukan kerana kami tidak menerima ketinggalan dalam perlawanan sukar dan penting ini,jadi semangat itulah yang saya hargai."