Ketua jurulatih Juventus, Andrea Pirlo, menjelaskan mengenai kepentingan untuk pasukannya menandatangani seorang penyerang baru menjelang saingan Serie A musim ini.

Juara bertahan Liga Itali itu masih belum menemui seorang pemain nombor 9 untuk memulakan musim 2020-21 selepas Gonzalo Higuain menyertai Inter Miami.

Usaha untuk mendapatkan bekas tonggak Barcelona, Luis Suarez, dilaporkan berakhir dengan kegagalan manakala penyerang Chelsea, Olivier Giroud, pada minggu lalu menepis dakwaan bahawa dia akan menyertai pasukan itu.

Edin Dzeko turut dikaitkan dengan Juve tetapi pemain AS Roma itu berada dalam kesebelasan utama ketika pasukannya menewaskan Cagliari dalam perlawanan persahabatan kelmarin.

Dengan jendela perpindahan akan tertutup dalam masa tiga minggu lagi, Pirlo menegaskan kekosongan posisi itu perlu dipenuhi secepat mungkin.

"Saya memerlukan seorang penyerang secepat mungkin," katanya kepada Sky Sport Italia.

"Tetapi waktu perpindahan masih panjang. Masih ada masa untuk kami mengusahakannya sehingga 4 Oktober ini."

Juventus memulakan persiapan pramusim pendek mereka dengan kemenangan 5-0 ke atas Novara kelmarin, di mana Cristiano Ronaldo membuka jaringan ke atas lawan dari Serie C itu.

Ronaldo turut menjaringkan dua gol ketika Portugal menewaskan Sweden 2-0 minggu lalu selepas pulih daripada kecederaan kaki dan Pirlo gembira dengan tahap kecedergasan tonggak utamanya itu.

"Cristiano baik-baik sahaja. Dia sudah membuktikannya sewaktu dengan Portugal dan hari ini," katanya.