MILAN 1 JUVENTUS 3

Andrea Pirlo memuji semangat juang Juventus selepas menundukkan pendahulu Serie A, Milan, 3-1 untuk meneruskan kebangkitan mereka sambil mendedahkan dia mengabaikan keputusan pasukan di atas mereka.


Bianconeri merakamkan tiga kemenangan daripada empat perlawanan liga ketika Federico Chiesa dan Weston McKennie menemui sentuhan pemusnah di San Siro untuk meleburkan rekod 27 perlawanan tanpa kalah Milan dalam Serie A.

Sehubungan itu, Juventus melonjakkan ke tangga keempat untuk tujuh mata di belakang Milan dengan baki satu perlawanan.

"Ini penting bagi kami," katanya kepada Sky Sport Italia, mengenai kemenangan mereka.

"Kami tidak berminat untuk mengambil pusing keputusan pasukan di atas kami kerana kami hanya tumpu kepada kemajuan sendiri.

"Beberapa bulan lagi kita akan lihat di mana kami akan berada.

"Yang penting adalah semangat pasukan yang ingin menguasai perlawanan terutama menentang pemimpin Serie A di laman mereka sendiri."



Pirlo memilih untuk memuji Chiesa selepas mengumpul gol kelima bersama Bianconeri sejak dipinjamkan selama dua tahun daripada Fiorentina pada Oktober 2020.

Pengurus Juve itu berasa puas dengan dinamik anak buahnya itu dan mereka sedia membayar Fiorentina pampasan setinggi €50 juta (RM247.7j ) sebaik tempoh pinjamannya tamat.

"Kami menandatanganinya kerana dia mampu menggerakkan pemain di kubu lawan," kata Pirlo, yang mengerahkan Chiesa di sayap kanan di belakang gandingan penyerang, Paulo Dybala dan Cristiano Ronaldo.

"Kedudukannya mungkin berubah tetapi peranannya tidak."

Pertahanan Juve, Leonardo Bonucci, turut menuntut rakan sepasukannya agar mengabaikan keputusan pencabar lain dan mereka perlu fokus bertemu Sassuolo, hujung minggu ini.

"Objektif kami ketika ini adalah untuk mengalahkan Sassuolo, itu saja," kata Bonucci.

"Kami harus mencari kemenangan untuk menjadi lebih yakin dan jitu sebagai sebuah pasukan."