Andrea Pirlo berasakan mimpi ngeri awal di Porto telah membuatkan Juventus "sedikit takut" tetapi jaringan di laman lawan Federico Chiesa kembali meletakkan mereka "di laluan tepat" dalam pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

Porto akan bertandang ke Turin bagi perlawanan kedua dengan kelebihan 2-1 selepas dua kali memerangkap juara Serie A itu di Estadio do Dragao awal pagi tadi.

Rodrigo Bentancur menghadiahkan Mehdi Taremi gol UCL susulan satu hantaran buruk ke penjaga golnya, Wojciech Szczesny, pada minit kedua sebelum Mousa Marega menggandakan kelebihan Porto itu pada awal babak kedua.

Juve beraksi hambar dan jarang memberikan ancaman sebelum Chiesa menghidupkan kembali harapan mereka menerusi gol pada lapan minit terakhir manakala Cristiano Ronaldo dinafikan sepakan penalti di negara kelahirannya pada penghujung perlawanan.

Pirlo berasakan Juve, yang kehilangan kapten, Giorgio Chiellini, gara-gara kecederaan betis dalam babak pertama, bergelut untuk menemui rentak selepas dikejutkan dengan gol awal pihak lawan.

"Pendekatan kami menjadi silap selepas minit pertama. Apabila anda dibolosi gol seperti itu, adalah nomal untuk berasa sedikit takut, anda kehilangan keyakinan yang tidak sepatutnya hilang (di peringkat seperti ini)," kata bekas pemain kebangsaan Itali itu kepada Sky Sport Italia.

"Semangat pemain kami agak merudum, kami dibolosi gol yang aneh, kemudian permainan yang mereka mahukan tidak menjadi dan ia menjadi lebih sukar."

Pirlo menambah: "Keletihan selepas banyak perlawanan mencabar sudah kelihatan, ia bukan mudah untuk mengekalkan rentak sama tetapi ia tidak sepatutnya berlaku. Mujur kami dapat kembali ke landasan tepat dan kami kini akan fokus bagi perlawanan timbal balik."

Danillo tidak akan beraksi dalam perlawanan kedua bulan depan gara-gara dilayangkan kad kuning dan digantung perlawanan.