Andrea Pirlo memuji persembahan Cristiano Ronaldo pada awal musim ini dan berharap penyerang Juventus itu dapat meneruskan aksi cemerlangnya.

Ronaldo menjaringkan tiga gol selain menghasilkan satu bantuan jaringan dalam dua perlawanan pertama Serie A musim 2020-21, sekali gus membantu Juve mengumpulkan empat mata.

Menjelang pertemuan dengan Napoli awal pagi esok, ketua jurulatih Juve, Pirlo, memuji pemain bintangnya dan berharap Ronaldo dapat menjaringkan lebih banyak gol.

"Ronaldo berusaha dengan amat gigih. Dia pemain pertama yang akan tiba dalam sesi latihan dan pemain terakhir yang akan pulang ke rumah," katanya dalam sidang media.

"Dia membawa kegairahan, anda juga dapat melihatnya di atas padang.

"Dia memulakan musim dengan amat baik, saya harap dia dapat kekal seperti itu hingga penghujung musim.

"Saya harap dia dapat menjaringkan satu atau dua gol dalam setiap perlawanan. Dia pemain yang amat penting buat kami.

"Di Rome, kami kehilangan seorang pemain dan dia banyak membantu kami sehingga tamat perlawanan.

"Dia satu contoh buat semua orang," katanya.

Ronaldo dan Juventus diundi untuk berdepan Barcelona yang diwakili Lionel Messi selain Dynamo Kiev dan Ferencvaros dalam saingan Kumpulan G, Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

Pirlo bersedia untuk berdepan cabaran itu tetapi menegaskan kunjungan ke Kiev pada 20 Oktober ini akan menjadi aspek penting untuk Juve menamatkan penantian kejuaraan UCL sejak 1996.

"Kami berada dalam kumpulan yang amat baik. Ia sentiasa bagus untuk bertemu Barcelona kerana ia memerlukan tanggungjawab dan tumpuan daripada pemain kami.

"Kami sedar kami akan melalui banyak perlawanan tetapi ia amat bagus untuk kami memulakan perlawanan pertama di Kiev.

"Bulan Oktober kurang sejuk berbanding bulan Disember di sana, mungkin kami tidak perlu bermain dalam cuaca bersalji di sana," tambahnya.