FERENCVAROS 1 JUVENTUS 4

Andrea Pirlo mendesak Juventus agar tidak begitu mementingkan diri sendiri selepas kejayaan 4-1 dalam Liga Juara-Juara (UCL) di Ferencvaros, awal pagi tadi.


Jaguh Serie A itu tiga kali menggegar gawang lawan dalam tempoh setengah jam terakhir demi kemenangan Kumpulan G di Hungary itu untuk mata keenam.

Alvaro Morata terlebih dahulu menemui dua sentuhan penyudah sebelum gol Paulo Dybala dan jaringan sendiri Dvali menyusul tetapi Juve gagal mengelak kemenangan bersih selepas dicemari dengan jaringan Franck Boli pada minit ke-90.

Walaupun gembira dengan kemenangan itu, pengurus Juve itu menuntut peningkatan daripada pasukannya.

"Saya berpuas hati dengan hasilnya tetapi kami sepatutnya mampu melakukan yang lebih baik lagi daripada segi permainan," katanya kepada Sky Sport.

"Sangat penting untuk mendapatkan keputusan positif tetapi jelas sekali kami perlu tingkatkan permainan."

Pirlo menambah: "Saya adalah seseorang yang gemar bercakap dengan pemain, kemudian mereka membuat keputusan sendiri di atas padang.

"Adalah penting untuk pastikan pilihan itu tepat. kami perlu kurang mementingkan diri sendiri dan membunuh perlawanan ini dengan lebih awal."





Juara 1996 itu dalam prestasi 10 kemenangan daripada 14 perlawanan peringkat kumpulan UCL, termasuk empat kejayaan berturut-turut.

Mereka beraksi tanpa Arthur dalam separuh masa kedua dan Pirlo mendedahkan pemain tengah itu tidak berasa sihat.

"Arthur berasa tidak sedap badan ketika dia diturunkan., Dia mengalami gangguan pencernaan, dia mengalami masalah perut. Oleh itu, dia berasa seperti mahu muntah," katanya ladi dalam sidang akhbar.

"Kami mengekalkannya di atas padang, dia ingin terus beraksi sehingga tamat babak pertama. Kami memang berhajat untuk menggantikannya dengan segera memandangkan dia tidak dapat berlari dan hampir tidak dapat bernafas."

Di kedudukan ketiga Serie A, Juventus akan berkunjung ke Lazio, Ahad ini.