Andrea Pirlo mengesahkan dia akan bersara selepas kontraknya bersama New York City berakhir pada Disember depan.

Pemain berusia 38 tahun itu, yang hanya membuat 15 penampilan dalam saingan MLS tahun ini, bergelut untuk mendapatkan tahap kecergasan terbaik selepas pulih daripada kecederaan lutut.

Bekas bintang Juventus dan AC Milan itu berkata dia tidak lagi berupaya untuk berlatih seperti yang diinginkan dan menyatakan hasratnya untuk bersara selepas kontraknya berakhir.

"Anda akan tahu apabila sudah tiba masanya," katanya.

"Masalah fizikal menjadi penghalang, anda tidak mampu untuk berlatih pada tahap yang diinginkan kerana kecederaan sentiasa membelenggu anda.

"Pada usia saya, sudah mencukupi. Saya berasakan sudah tiba masa untuk melakukan sesuatu yang berbeza," katanya.

Pirlo telah dilaporkan akan terus melangkah menceburi bidang kejurulatihan dan telah dikaitkan bakal ke England untuk menjadi penolong Antonio Conte di Chelsea.

Bagaimanapun, pemenang Piala Dunia itu berkata dia tidak memiliki sebarang perancangan buat masa ini.

"Saya masih tidak tahu.

"Saya akan kembali ke Itali pada Disember. Berikan masa kepada saya untuk memikirkan mengenai masa depan saya.

"Selepas 25 tahun dalam dunia bola sepak, saya akhirnya akan kembali bersama keluarga di Itali. Saya akan bermain golf dan tenis untuk kekal cergas," tambahnya.

Pirlo memulakan kariernya bersama Brescia di samping menjuarai Serie A dan Liga Juara-Juara (UCL) dua kali bersama Milan.Dia menyertai Juve pada 2011 dan memenangi empat lagi kejuaraan liga dan mara ke aksi final UCL pada 2015.

Dia telah membuat 116 penampilan untuk Itali, menjuarai Piala Dunia pada 2006 dan mara ke final Euro 2012.