Ketua jurulatih Juventus, Andrea Pirlo, kecewa selepas Juventus hanya mula bermain dengan intensiti selepas ketinggalan ketika seri 1-1 dengan Hellas Verona semalam.

Sekadar melakukan satu percubaan tepat ke arah pintu gol lawan dalam separuh masa pertama, juara Serie A, Juve ketinggalan pada minit ke-60 apabila Andrea Favilli melepaskan rembatan menembusi gawang Juve.

Juve -- tanpa kemenangan dalam dua perlawanan berturut-turut saingan Serie A ke atas Verona buat pertama kali sejak 1989 -- kembali bangkit menerusi pemain gantian, Dejan Kulusevski yang menyamakan kedudukan 13 minit sebelum perlawanan tamat dan menghasilkan beberapa peluang namun gagal disudahkannya.

Juve menamatkan perlawanan dengan 22 percubaan tetapi pengendali kelahiran Itali, Pirlo, tidak berpuas hati apabila pasukannya perlu dikejutkan terlebih dahulu sebelum mula bermain.


"Separuh masa pertama kami kurang agresif. Kami menunggu pasukan lawan namun kami telah cuba menghasilkan peluang terbaik," katanya.

"Kami bertindak balas dengan cemerlang selepas mereka mendahului, tetapi kami tidak perlu menunggu sehingga ketinggalan untuk bermain dengan intensiti yang tinggi. Berdepan lawan seperti Verona atau Atalanta, ia amat sukar kerana mereka gemar berada dalam situasi satu lawan satu dan menghasilkan banyak tekanan.

"Kami telah berusaha untuk mengelak daripada tekanan tinggi dan kami boleh melakukan dengan lebih baik."

Keputusan itu menyaksikan Juve melonjak ke tangga kelima -- tiga mata di belakang pendahulu, Milan.