Gerard Pique mengakui saban musim Barcelona mengalami kemunduran tetapi yakin perlahan-lahan akan mengubah keadaan itu berikutan rombakan besar-besaran ahli lembaga pengarah kelab berkenaan.

Gergasi LaLiga itu akan memilih presiden baru selepas Josep Maria Bartomeu dan seluruh ahli lembaga pengarah bertindak mengundurkan diri selepas menerima undi tidak percaya.

Barca menamatkan saingan 2019-20 tanpa sebarang trofi sementara musim ini membuat permulaan terburuk dalam kempen LaLiga apabila sekadar memungut tiga mata.

Bagaimanapun, Pique beranggapan Camp Nou memiliki masa depan yang cerah sebaik barisan ahli lembaga pengarah yang baru ditubuhkan.

"Begitulah keadaan kelab ketika ini," katanya kepada Movistar selepas kemenangan 2-1 ke atas Dynamo Kiev dalam perlawanan Liga Juara-Juara (UCL), awal pagi tadi.

"Kami dalam proses melakukan perubahan besar-besaran.

"Saya rasa perlu untuk mengubah situasi ini. Jelas sekali prestasi kami semakin merudum dan bertambah buruk setiap tahun.

"Kami perlukan sedikit masa tetapi tidak akan ada tahun peralihan di Barca, jadi kami tidak mempunyai banyak waktu. Akan ada perubahan di barisan ahli lembaga kelab dan ia akan berubah sedikit demi sedikit.



"Ini bukan tahun yang mudah bagi kami, tidak hanya atas apa yang berlaku di kelab ini. Hidup ini sentiasa ada perubahan jadi kami harus menyesuaikan diri."

Tambahnya: "Saya yakin kami akan dapat mengubah keadaan ini kerana perasaannya semakin baik. Ada muka baru, pemain muda yang mampu menjadikan permainan kami menjadi lebih dinamik.

"Kami cuma memerlukan sedikit masa untuk mendapatkan kepercayaan diri.

"Kami hanya perlu bekerja dengan gigih dan berjuang. Dengan usaha, saya yakin hasilnya akan datang. Kami yakin mampu memperbaiki banyak aspek dan perjuangan musim ini masih panjang."