Gerard Pique kembali menyatakan hasratnya untuk menjadi presiden kelab Barcelona selepas kerjayanya sebagai pemain berakhir.

Pemain pertahanan itu, yang tiba di Nou Camp sejak 2008, mendedahkan impiannya pada 2014 dan bekas pemain tengah kelab itu, Xavi, sempat berseloroh mengenai hajat rakannya itu dengan mengatakan Pique akan melantiknya sebagai ketua jurulatih, Segio Busquets sebagai penolongnya dan Carles Puyol sebagai pengarah sukan.

Selepas menyuarakan hasrat untuk bersara di peringkat antarabangsa bersama Sepanyol selepas Piala Dunia 2018 tamat, Pique tetap mahu memenuhi impian besarnya itu.

"Ya, apabila saya mengatakannya, ia benar - saya mahu menjadi presiden kelab," katanya kepada TV3. "Ia langkah yang ingin saya ambil selepas bersara.

"Saya tidak nampak diri saya sebagai jurulatih. Saya tidak fikir saya akan begitu seronok mengenainya.

"Sebagai presiden, saya mampu melaksanakan tugas dengan baik untuk kelab kerana itulah yang saya cintakan.

"Selepas bersara, langkah seterusnya yang saya akan buat ialah menjadi presiden Barcelona."