Gerard Pique menggelarkan persembahan Real Madrid dalam babak pertama sebagai pasukan terburuk pernah dihadapi bagi aksi El Clasico tatkala barcelona tewas 2-0 di Santiago Bernabeu, awal pagi tadi.

Los Blancos memintas Barca di puncak LaLiga selepas meraih kemenangan El Clasico pertama dalam tempoh empat tahun hasil jaringan Vinicius Junior dan Mariano Diaz.

Pique mengekang bola percubaan Vinicius tetapi tidak dapat menafikan pemain dari Brazil itu meledakkan gol pembukaan dan diamengakui persembahan pasukannya dalam babak kedua tidak begitu bagus.

Namun, dia mengkritik aksi skuad kendalian Zinedine Zidane itu, berkata Barca terlepas peluang untuk menghukum lawan dalam 45 minit pertama.

"Madrid yang kami hadapi sebelum rehat adalah yang terburuk pernah kami temui di Bernabeu," katanya.

"Kami perlu beraksi lebih baik berbanding babak kedua. Kami kehilangan bola dan lawan jadi lebih yakin.

"Perasaan yang dicetuskan Madrid adalah yang terburuk dan saya tidak katakannya sebagai kritikan. Semua orang memiliki masalah dalam kelab tetapi saya fikir ia satu peluang keemasan yang dilepaskan.

"Kami tidak beraksi dengan baik, terlepas peluang untuk mengungguli carta liga. Kami mengawal permainan. Dalam babak kedua, kami biarkan lawan lebih yakin dan mereka menjaringkan gol.

"Ia peluang yang disia-siakan. Dalam babak pertama, kami menggunakan beberapa kesempatan yang ada dan sepatutnya memiliki kelebihan."

Dalam masa sama, Pique juga menegaskan perebutan kejuaraan liga masih belum berakhir sambil mengalu-alukan pertemuan dengan Real Sociedad di Camp Nou, selepas ini.

"Kami tewas tetapi belum tamat," katanya.

"Masih ada ruang untuk perbaiki dan kami memiliki kemampuan untuk memenangi LaLiga jika segalanya berjalan lancar. Namun, kami harus beraksi cemerlang.

"Setiap kali anda tewas di sini, ia menyakitkan kerana ia sangat penting. Jika kami menang, ia satu langkah yang penting.

"Kami harus terus fokus terutama dalam babak kedua. Kini, kami akan menyambung aksi di laman sendiri. Kami mahu menang dalam setiap perlawanan sambil mengharapkan Madrid mencicirkan mata."