Pioli tuntut lebih lagi daripada Suso

Oleh Penulis Jemputan 1 November 2019 64
Pioli tuntut lebih lagi daripada Suso
AC MILAN 1 SPAL 0

Stefano Pioli mencabar Suso untuk memberi sumbangan secara kolektif bersama AC Milan selepas penyerang gantian itu menjaringkan gol kemenangan ke atas SPAL dalam Serie A di San Siro awal pagi tadi.


Sepakan percuma Suso pada minit ke-63 memberikan kemenangan 1-0 buat Milan, yang juga kemenangan pertama daripada tiga perlawanan yang dikendalikan Pioli musim ini.

Kemenangan itu juga membantu skuad Rossoneri itu melonjak ke kelompok separuh teratas Serie A. 

Suso gagal menghasilkan sebarang gol sejak penghujung musim lalu dan mendapat kritikan daripada penyokong pasukan itu, namun dia hanya memerlukan enam minit selepas menggantikan Samu Castillejo untuk menemui jaring SPAL.

"Dia pemain dengan kualiti yang hebat, saya fikir dia boleh melakukan sesuatu yang lebih baik," kata pengurus itu kepada Sky.

"Saya gembira untuk memiliki pemain dengan perwatakan seperti itu, namun kami perlu mula berfikir secara sepasukan dan bukannya individu," katanya.

Pioli lega apabila melihat semangat yang dinginkan daripada pasukannya itu yang amat jarang dapat dilihat sebelum ini.

"Saya gembira untuk pemain, penyokong dan kelab ini.

"Saya meminta pasukan untuk lebih bersemangat dan mereka memberikannya. Saya dapat lihat semangat yang sepatutnya.

"Adakalanya ia hilang (tetapi) kami mengekalkan keputusan sehingga tamat perlawanan.

"Kini, kami perlu segera menumpukan terhadap perlawanan yang seterusnya," tambahnya.

Milan akan menantikan kunjungan Lazio dan Napoli di antara kunjungan ke laman juara Serie A, Juventus.

"Kami akan berjuang seperti hari ini," kata Pioli berkenaan perlawanan yang akan datang itu.

"Perasaan risau bermakna kami perlu menumpukan lebih perhatian.

"Sekarang, ayuh memulihkan tenaga.

"Saya pasti pasukan ini sedang meningkat.

"Kami perlu memulihkan diri secara fizikal dan mental," katanya lagi.
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen