Stefano Pioli tidak ragu-ragu pasukannya, AC Milan, akan memberikan respons segera susulan kekalahan kepada Juventus walaupun terus dibelenggu masalah kecederaan dan penggantungan pemain selepas menewaskan Torino awal pagi tadi.

Rekod tanpa kalah pendahulu Serie A, Milan, tamat susulan kekalahan 1-3 kepada Juve Rabu lalu, perlawanan yang menyaksikan Davide Calabria terpaksa ditugaskan sebagai pemain tengah

Bagaimanapun, skuad Rossoneri itu meneruskan penguasaan mereka di puncak liga dengan kemenangan 2-0 ke atas Torino hasil jaringan Rafael Leao dan Franck Kessie.

"Saya perlu mengaku, saya tidak terlalu terkejut dengan persembahan seperti ini," kata Pioli kepada DAZN.

"Saya mengenali pemain ini dan sudah menjangkakan mereka akan memberikan respons. Babak pertama amat cemerlang, terutama daripada segi kualiti, dan kami kemudian diberikan tekanan dalam babak kedua oleh Torino yang berprestasi baik," katanya.

Bagaimanapun, Leao akan terlepas perlawanan Milan yang berikutnya gara-gara mengumpulkan kad kuning manakala Sandro Tonali terpaksa diusung keluar padang dan Brahim Diaz turut cedera.

"Kami belum mendapatkan sebarang berita, kami akan melihat keadaan mereka selepas menerima terjahan keras.

"Apa yang mengecewakan saya adalah kehilangan Leao bagi perlawanan seterusnya kerana saya tidak pernah melihat pemain dituduh melakukan simulasi di kawasan tengah. Saya tidak fikir ia adalah cara yang adil atau pemahaman sebenar mengenai situasi itu," katanya lagi.