Stefano Pioli memuji AC Milan "mempamerkan jiwa, keamatan, minat dan kepercayaan" selepas menewaskan Benevento 2-0 untuk kembali ke puncak Serie A awal pagi tadi biarpun beraksi selama hampir sejam dengan 10 pemain.

Gol sepakan penalti Franck Kessi memberikan pasukan pelawat itu pendahuluan di Stadio Ciro Vigorito tetapi insiden Sandro Tonali dibuang padang sebelum waktu rehat kembali menambahkan tekanan buat skuad Rossoneri itu.

Jaringan yang dihasilkan Rafael Leao memberikan Milan keselesaan dengan kelebihan dua jaringan pada awal babak kedua sementara Gianluca Caprari mensia-siakan sepakan penalti buat tuan rumah.

Kemenangan itu merupakan respons terbaik Milan selepas Inter Milan menewaskan Crotone 6-2 untuk seketika menduduki tangga teratas liga.

Tetapi dengan pasukannya kini kembali mendahului liga dengan kelebihan satu mata, Pioli memuji barisan pemainnya.

"Kami telah menunjukkan jiwa, keamatan, minat dan kepercayaan. Ia satu lagi kemenangan penting," katanya kepada Sky Sport Italia.

"Kami tidak membiarkan keputusan yang dilakar seteru memberikan tekanan buat kami. Kami meletakkan tekanan ke atas diri sendiri untuk mendapatkan yang terbaik.

"Terdapat beberapa kesilapan tetapi kami mempamerkan perpaduan untuk mendapatkan kemenangan.

"Setiap kemenangan penting untuk mendapatkan keyakinan diri," katanya.

Tonali dilayangkan kad merah kerana melakukan terjahan gegabah ke atas Artur Ionita, dan pengadil, Fabrizio Pasqua, mengubah keputusan melayangkan kad kuning kepada kad merah selepas penilaian video bantuan pengadil (VAR).

"Saya memeluk Sandro dalam bilik persalinan, dia amat sedih kerana meninggalkan pasukan dengan 10 pemain.

"Isu dengan VAR adalah sesuatu perkara akan nampak lebih buruk apabila disaksikan dalam gerak perlahan berbanding dinamik pergerakan itu, namun Sandro akan belajar sesuatu daripada perkara ini," tambahnya.

Milan seterusnya akan menghadapi juara bertahan, Juventus, di laman sendiri awal pagi Khamis ini.