HAPOEL 3 INTER MILAN 2

Stefano Pioli membidas mentaliti pemain Inter Milan selepas mereka tersingkir daripada saingan Liga Europa awal pagi tadi susulan kekalahan 3-2 kepada Hapoel Be-er Sheva biarpun pada suatu ketika memimpin perlawanan 2-0.

Ketua pasukan, Mauro Icardi, meletakkan Inter di hadapan dalam aksi di Israel itu ketika permainan baru berusia 12 minit sebelum Marcelo Brozovic melebarkan kedudukan untuk anak buah Pioli menguasai permainan.

Namun, jaringan Lucio Maranhao dan kad merah yang dilayangkan ke atas penjaga gol, Samir Handanovic, untuk menghadiahkan sepakan penalti yang disudahkan Anthony Nwakaeme, membolehkan tuan rumah menyamakan kedudukan sebelum gol lewat permainan daripada Ben Sahar mengesahkan kemenangan pasukan itu.

Pioli berasakan Inter terlalu mudah berpuas hati untuk meraih kemenangan sehingga memberi ruang buat kelab Israel itu untuk bangkit berikutan kesungguhan mereka mulai menurun.

"Kami berhenti bermain sebagai satu pasukan dan bersikap angkuh," kata Pioli kepada pemberita.

"Itu tidak seharusnya berlaku dan kami tidak boleh melakukannya jika ingin memenangi perlawanan.

"Kami berpeluang untuk mendahului perlawanan 3-0 tapi kami tidak melakukannya. Kami perlu bekerja keras dan memastikan kami tidak memberikan sebarang peluang.

"Kami tidak boleh terumbang-ambing dalam perlawanan.

"Pada separuh masa pertama, kami bermain dengan cukup baik tapi buruk pada separuh masa kedua. Apa yang kami perlukan adalah mengekalkan sikap kami."

Pioli turut menafikan kecergasan pemain adalah punca mereka tumbang ekoran kelab Serie A itu sudah melepaskan lima gol dalam dua perlawanan di bawah kendaliannya.

"Kecergasan pasukan adalah bagus kerana kami berjuang sehingga tamat perlawanan. Kami hanya perlu memperbaiki mentaliti kami.

"Kami tidak boleh mengambil kira sejarah. Ketika ini kami tidak boleh berpuas hati dengan prestasi kami. Kami perlu memberi penekanan kepada perkara-perkara ini: fizikal, psikologi dan taktikal.

"Sebuah pasukan yang beraksi baik pada separuh masa pertama tidak boleh menampilkan permainan pada separuh kedua seperti itu.

"Inter memiliki pemain berkualiti tapi kami harus tahu bagaimana untuk menangani tekanan. Persembahan ini tidak setaraf dengan Inter.

"Kami terlalu bertahan sehingga memberi Hapoel peluang untuk bangkit.

"Saya telah merombak beberapa perkara bagi menemui keseimbangan pasukan."