Pioli kecewa kesilapan Milan jejas tugas pertamanya

Oleh Staff Writer 21 Oktober 2019 143
Pioli kecewa kesilapan Milan jejas tugas pertamanya
AC MILAN 2 LECCE 2

Pengurus AC Milan, Stefano Pioli, kecewa dengan kesilapan yang dilakukan pasukannya sehingga membenarkan pasukan di kelompok bawahan Serie A, Lecce, mengikat mereka di San Siro, namun percaya Rossoneri dapat mempelajari sesuatu daripada keputusan itu.


Penampilan pertama Pioli selaku pengurus terjejas apabila Lecce meraih gol penyamaan pada minit ke-92 untuk mengikat pasukan tuan umah itu 2-2 awal pagi tadi.

Pengendali berusia 54 tahun itu bukanlah pilihan popular untuk menggantikan Marco Giampaolo dan penampilan pertamanya sebagai pengurus gagal membuahkan kepercayaan penyokong setia pasukan itu.

Bercakap mengenai tugasan pertama itu, yang pada awalnya kelihatan baik menerusi gol pendahuluan Hakan Calhanoglu dan pemain gantian, Krzysztof Piatek, sebelum Marco Calderon menjaringkan gol penyamaan dalam waktu kecederaan, Pioli -- yang turut merayakan ulang tahun kelahirannya --  berkata kepada Sky Sport Italia: "Ia menyedihkan, terdapat sesuatu yang positif tetapi kami mahukan kemenangan dan ia tidak berjaya kerana kesilapan kami sendiri.

"Saya dapat melihat beberapa gerakan yang baik, kualiti dan semangat, namun jika anda membenarkan permainan kekal terbuka, anda akan berdepan kejutan yang buruk pada akhirnya.

"Pemain Milan sedar kemampuan mereka dan hakikat sebenar menyarung jersi berprestij ini.

"Mereka boleh menilai sendiri prestasi mereka dan kami akan menganalisis dengan sebaik-baiknya.

"Kami menerima padah disebabkan kemurahan hati kami, ketika kami mengejar bola, kami tidak melihat pemain lain. 

"Saya fikir kami selayaknya memenangi perlawanan ini. 

"Sesetengah posisi memperlihatkan sesuatu yang positif, selebihnya tidak.

"Kami cuba membina permainan dari bawah dengan menggunakan tiga pertahanan, namun ia akan berubah terhadap lawan lain seperti Roma minggu depan.

"Selepas hanya beberapa hari mengadakan sesi latihan, saya dapat lihat beberapa idea yang kami perlu usahakan dan ia akan menjadi lebih baik pada masa akan datang walaupun masih banyak perkara yang perlu dilakukan.

"Saya mengharapkan sesuatu yang baik sebagai hadiah hari jadi petang ini, namun saya dapat lihat beberapa perkara yang bagus dan berharap kami dapat mempelajari sesuatu daripada kesilapan ini," katanya.

Keputusan itu menyaksikan Milan hanya memenangi satu daripada lima perlawanan terakhir Serie A dan menduduki tangga ke-12 -- enam mata di belakang pasukan di tangga keempat, Napoli.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen