Pioli hanya mahu bercakap soal kemenangan Milan 

Oleh Shaiful Shamsudin 23 Jun 2020 33
Pioli hanya mahu bercakap soal kemenangan Milan 
Pengurus Milan, Stefano Pioli, menolak spekulasi yang semakin meningkat bahawa dia akan digantikan oleh Ralf Rangnick pada penghujung musim ini di sebalik mengatasi Lecce 4-1.

Samu Castillejo, Giacomo Bonaventura, Ante Rebic dan Rafael Leao dalam senarai penjaring ketika Milan kembali di landasan kemenangan dalam kempen Serie A dengan mengetepikan cabaran tuan rumah, awal pagi tadi. 

Milan hanya dipisahkan satu kedudukan untuk slot terakhir Liga Europa -- dikuasai Napoli yang berada di kedudukan keenam -- menerusi perbezaan gol selepas 27 perlawanan, namun Pioli masih berdepan pemecatan pada akhir musim ini.

Rangnick, yang kini menjadi ketua sukan dan perkembangan buat Red Bull, sebuah organisasi yang memiliki RB Leipzig, disebut-sebut akan ditawarkan jawatan selaku pengurus dan pengarah sukan di Milan pada 2020-21.

Ketika ditanya mengenai desas-desus itu, Pioli memberitahu Sky Sport Italia pasca perlawanan itu: "Saya tidak berminat dengan apa yang diperkatakan.

"Saya gembira dengan pasukan ini, saya bekerja sejak awal lagi dengan menerapkan semangat dan kecekapan, maka masa depan saya akan diputuskan akhir musim ini."

 

Milan melangsungkan kempen Serie A pertama mereka sejak saingan itu tertunda angkara COVID-19 apabila terlebih dahulu terbabit dalam pertemuan separuh akhir Coppa Italia menentang Juventus minggu lalu. 

Castillejo meletakkan Milan di depan pada minit ke-26 tetapi Lecce menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti, Marco Mancosu, berikutan kekasaran Matteo Gabbia terhadap pemain gantingan, Khouma Babacar.

Tiga minit selepas itu, giliran Giacomo Bonaventura dan Ante Rebic -- diturunkan ketika berhitung dengan Juve dalam Coppa Italia --  menggegar gawang  untuk meletakkan Milan di kedudukan selesa. 

Pemain gantian Milan, Leao, mengukuhkan kedudukan pada minit ke-72 untuk Rossoneri kembali ke tangga ketujuh setelah Hellas Verona dan Parma merampaskan kedudukan itu hujung minggu lalu. 

"Kami beraksi dengan baik ketika menentang pasukan lawan yang lebih gemar bertahan dan menunggu kemaraan kami, jadi kami perlu membuka ruang," katanya.

"Lecce berkesempatan untuk mengikat kedudukan tetapi kami berjaya kembali di depan. Ini adalah satu kemenangan penting, kami memerlukan mata dan peningkatan ini.

"Objektif kami adalah layak ke Eropah dan menghambat pasukan di depan. 

"Kedudukan Roma nampaknya cukup jauh tetapi kami masih akan beraksi hujung minggu ini. Masih ada banyak mata untuk direbut dalam baki 11 perlawanan jadi kami perlu mencuba."

 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen