Pengendali Itali, Roberto Mancini, menegaskan pintu sentiasa terbuka untuk Mario Balotelli kembali menyertai skuad kebangsaan.

Balotelli tidak mewakili negaranya sejak diikat seri 1-1 ketika menentang Poland pada September tahun lalu, di mana dia beraksi selama sejam dalam perlawanan Liga Negara-Negara UEFA.

Penyerang itu menjaringkan lima gol dalam 19 penampilan untuk kelab kelompok bawahan, Brescia, sebelum saingan Serie A ditangguhkan susulan wabak coronavirus.

Namun, Mancini tetap sedar kualiti yang dimiliki pemain itu ketika bekerjasama di Inter Milan dan Manchester City sebelum mengendalikan skuad Azzurri.

"Jika dia hanya fikirkan bola sepak dan lakukan segala yang perlu, pintu sentiasa terbuka untuknya, sama seperti pemain lain yang tidak dipanggil," katanya.

"Balotelli juga seperti pemain lain, memiliki kualiti penting tetapi ia bergantung kepadanya."

Balotelli bukan satu-satunya pemain yang meraih kesempatan hasil daripada penangguhan Euro 2020 kepada tahun depan.


Pemain Roma, Nicolo Zaniolo, juga terlepas saingan tahun ini akibat kecederaan tetapi kini mempunyai masa untuk pulih dan memperkuatkan skuad Itali pada tahun depan.

"Dia akan berkembang seperti pemain muda yang lain. Ia bakal menjadi tahun yang penting untuknya," tambah Mancini.

"Kali pertama saya melihatnya sebagai pemain tengah, saya fikir ia memang posisi untuknya. Namun, dia mampu beraksi di bahagian sayap kanan seperti yang dibuktikan bersama Roma beberapa kali.

"Jika seorang pemain dengan kualiti penting mampu beraksi dalam banyak posisi tanpa masalah, ia menjadi kelebihan untuknya dan pasukan."