Pengurus skuad kebangsaan Sepanyol, Julen Lopetegui, menyifatkan Diego Costa masih berpeluang untuk kembali menyarung jersi La Roja dalam Piala Dunia 2018 apabila kembali beraksi pada Januari.

Penyerang kelahiran Brazil itu tidak beraksi buat Chelsea sejak tamat musim lalu dan terpaksa menunggu selama dua bulan lagi sebelum layak melakukan penampilan buat Atletico Madrid.

Seperti dijangka, Costa tidak tersenarai dalam skuad Sepanyol bagi menghadapi aksi persahabatan menentang Costa Rica dan Russia pada bulan ini, tetapi Lopetegui menegaskan penyerang itu masih berpeluang untuk membuktikan keunggulannya.

"Kita akan lihat Januari nanti kerana dia berada dalam perancangan," ujar Lopetegui.

Dalam masa sama, pengurus itu turut menyifatkan penyerang veteran, David Villa, turut berpeluang untuk melakukan penampilan semula bersama Sepanyol selepas dipanggil menyertai skuad bagi aksi kelayakan Piala Dunia, September lalu.

"Villa telah beraksi dengan baik dan akan dipanggil semula bila-bila masa.

"Mungkin sekarang dia tidak bersama pasukan tetapi ia boleh berlaku di masa akan datang."

Selain Villa, antara nama lain yang turut disebut bakal membarisi skuad La Roja di masa akan datang adalah Dani Parejo dan Alberto Moreno.

"Moreno adalah pilihan tepat di Liverpool. Dia telah beraksi dengan kerap dan saya amat mengenalinya. Kini, saya mahu melihat perkembangannya," tambahnya.